KUALA LUMPURPersatuan Rangkaian Runcit Malaysia (MRCA) telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Universiti HELP untuk menubuhkan program bersama dan modul pembelajaran bernilai sehingga RM 2 juta.

Pengarah Kanan Bahagian Perancangan Strategik, Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade), Raja Badrulnizam Raja Kamalzaman berkata, program itu antara lain untuk meningkatkan kemahiran pekerja dan anggota MRCA.

“Selain itu, ia bagi mempromosikan pembelajaran sepanjang hayat dan mempersiapkan mereka dengan perubahan yang dibawa dalam revolusi teknologi dan kemajuan menerusi Kecerdasan Buatan (AI),” katanya di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), di sini, hari ini.

Terdahulu beliau berucap merasmkan Ekspo Francais Malaysia (FEM) 2024.

FEM 2024 kini memasuki edisi ketujuh sejak ia ditubuhkan pada 2016.

Sebagai salah satu ekspo francais terbesar di Asia Tenggara, ia dijangka menarik lebih daripada 15,000 pengunjung sepanjang tiga hari bermula hari ini hingga 13 Julai ini.

Bertemakan ‘Melabur dalam Masa Depan’, acara ini menekankan sinergi antara inovasi teknologi dan kecemerlangan keusahawanan.

Hadir sama, Presiden MRCA, Datuk Ken Phua; Timbalan Presiden MRCA, Datuk Liew Bin; Pengerusi Pengajur FEM 2024, Terry Tay serta Penasihat dan Pengerusi Penganjur untuk Persidangan Peruncitan, ChristineTan.

Raja Badrulnizam juga berkata, industri francais berada di barisan hadapan evolusi ini yang menyediakan model perniagaan terbukti mengurangkan risiko dan menawarkan sokongan pakar berterusan.

“Melabur dalam francais adalah kemasukan strategik ke dalam keusahawanan, menjanjikan masa depan yang cerah dan makmur.

“Dengan lebih daripada 400 gerai yang mengambil bahagian, FEM 2024 mempamerkan pelbagai peluang francais merentasi sektor seperti makanan dan minuman, pendidikan, kesihatan, kecantikan, fesyen, dan banyak lagi.

“Tahun ini, pameran FEM2024 menyaksikan penyertaan francaisor utama dari lebih 10 negara, termasuk China, Singapura, Indonesia, dan Taiwan,” katanya

Katanya, Persidangan Runcit MRCA 2024 bertajuk “Cabaran & Transformasi Runcit Pasca-Pandemik” akan diadakan di Hotel Mandarin Oriental, di sini.

“Persidangan ini akan menampilkan barisan penceramah termasuk Ketua Negara TikTok, Ajith Kumar; Perkongsian Pertumbuhan Malaysia serta pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Plaza Premium Group, Song Hoi See.

Selain itu katanya, persidangan runcit tahun ini juga akan menampilkan 10 profesional industri yang akan berkongsi pandangan mereka mengenai tiga topik utama.

“Antaranya Cabaran dan Transformasi Runcit Brick & Mortar, Bagaimana Pemain F&B Menangani Sentimen Global dan Gandakan Perniagaan Anda Melalui Francais,” katanya.

Katanya, walaupun pandemik Covid-19 menimbulkan pelbagai cabaran, namun industri ini berkembang sebanyak 8 peratus pada 2020 dan terus menunjukkan potensi.

“Ia disebabkan oleh faktor seperti kelas pertengahan semakin berkembang, permintaan meningkat untuk kemudahan dan pembiayaan yang tersedia.

“Sektor pertumbuhan utama termasuk makanan dan minuman, pendidikan, kesihatan dan kesejahteraan, runcit, dan perkhidmatan, dengan perniagaan francais halal semakin mendapat perhatian,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast