KUALA LUMPUR – Perdagangan borong & runcit Malaysia mencatatkan nilai jualan bulanan berjumlah RM147.9 bilion, berkembang 7.1 peratus tahun ke tahun pada Mei 2024.
Peningkatan ini dipacu oleh subsektor perdagangan runcit yang meningkat 8.7 peratus atau RM5.1 billion kepada RM64.0 bilion.
Perdagangan borong juga bertumbuh 4.7 peratus atau RM2.9 bilion kepada RM65.1 bilion, diikuti oleh kenderaan bermotor dengan peningkatan 10.5 peratus atau RM1.8 bilion untuk mencapai RM18.8 bilion.
Bagi perbandingan bulanan, perdagangan borong & runcit naik 2.0 peratus berbanding bulan sebelumnya, disokong oleh kenderaan bermotor dan perdagangan borong masing-masing dengan 8.8 peratus dan 2.0 peratus.
Pertumbuhan 8.7 peratus tahun ke tahun bagi perdagangan runcit disumbangkan oleh jualan runcit di kedai bukan pengkhususan yang tumbuh 10.7 peratus atau RM2.4 billion kepada RM24.9 bilion.
Kumpulan lain dalam subsektor ini turut merekodkan pertumbuhan positif iaitu jualan runcit di kedai pengkhususan (12.8%), jualan runcit bahan api kenderaan (8.1%), jualan runcit barangan isi rumah (5.3%), jualan runcit makanan, minuman & tembakau (9.6%), jualan runcit barangan kesenian & rekreasi (3.4%), jualan runcit bukan di kedai, gerai atau pasar (8.0%) dan jualan runcit di gerai & pasar (5.9%).
Bagi perbandingan bulan ke bulan, jualan subsektor ini menokok 0.3 peratus.
Kenaikan 4.7 peratus tahun ke tahun bagi subsektor perdagangan borong pada bulan ini disokong oleh lain-lain pengkhususan jualan borong yang meningkat RM0.9 bilion atau 4.0 peratus kepada RM24.1 bilion.
Ini diikuti oleh jualan borong barangan isi rumah (6.5%), jualan borong makanan, minuman & tembakau (6.2%), jual borong bahan mentah pertanian & haiwan hidup (3.9%), jualan borong jentera, peralatan & bekalan (1.8%), perdagangan borong tanpa pengkhususan (4.3%) dan jual borong berdasarkan kontrak atau yuran (2.2%).
Bagi perbandingan bulanan, perdagangan borong naik 2.0 peratus.
Pertumbuhan tahun ke tahun sebanyak 10.5 peratus bagi subsektor kenderaan bermotor pada Mei dipacu oleh jualan kenderaan bermotor yang melonjak 11.1 peratus atau RM1.0 bilion untuk merekodkan RM9.9 bilion, diikuti oleh jualan komponen & aksesori kenderaan bermotor (11.9%) dan penyelenggaraan & pembaikan kenderaan bermotor (12.8%).
Bagi perbandingan bulanan, subsektor ini kembali positif dengan 8.8 peratus, didorong oleh jualan kenderaan bermotor (14.9%) dan jualan, penyelenggaraan & pembaikan motosikal (17.2%).
Bagi indeks volum, perdagangan borong & runcit pada Mei 2024 mencatatkan pertumbuhan tahun ke tahun sebanyak 5.7 peratus.
Pengembangan ini disumbangkan oleh semua subsektor iaitu kenderaan bermotor (9.6%), perdagangan runcit (6.8%) dan
perdagangan borong (3.4%).
Sebaliknya, bagi indeks volum pelarasan musim, ia jatuh -0.9 peratus bulan ke bulan. – MalaysiaGazette