Logo HRD Corp

KUALA LUMPUR – Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) tidak pernah menyebut mengenai berlakunya elemen rasuah dalam pentadbiran Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRD Corp).

Sehubungan itu, peguam, Amrit Pal Singh meminta semua pihak hendaklah berlapang dada dan memberikan ruang kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat secara professional.

“Ini tidak, baru sahaja SPRM kunjungi pejabat HRD Corp, ramai yang buat pelbagai tanggapan walaupun PAC tidak pernah sebut elemen rasuah atau salah guna kuasa oleh pengurusan HRD Corp,

“Sebagai pengamal undang-undang, saya suka ingatkan bahawa prinsip kami jelas, seseorang itu tidak boleh dihukum bersalah sehinggalah dibuktikan bersalah.

“Kita tak boleh ‘hukum’ mengikut media sosial hari ini yang rangkaiannya tiada sempadan,” jelas beliau hari ini.   

Tiga hari yang lalu, lima individu dipercayai pegawai penyiasat SPRM berkunjung ke pejabat Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRD Corp) di Jalan Beringin.

Lima pegawai termasuk seorang wanita itu tiba jam 11.30 pagi menaiki dua kenderaan berasingan.

Difahamkan, kehadiran pegawai penyiasat itu bagi mengambil dokumen berkaitan isu syarikat kerajaan itu dalam audit yang dibuat.

Tumpuan utama siasatan SPRM menjurus kepada unsur jenayah yang tertakluk mengikut Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2/2024 sebelum ini mengesyorkan Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) mengambil tindakan sewajarnya terhadap pengurusan HRD Corp bagi ketidakteraturan yang dikenal pasti dengan merujuk kepada agensi penguatkuasaan berkaitan.

Laporan tersebut antaranya mendedahkan terdapat tindakan serta keputusan diambil pengurusan HRD Corp tidak mematuhi prosedur dan menjaga kepentingan dalam mencapai fungsi penubuhan syarikat.

PAC turut dilapor mendedahkan sejumlah RM3.77 bilion hasil kutipan levi daripada majikan digunakan Program Latihan HRD Corp untuk melabur dalam pelbagai aktiviti pelaburan yang bukan merupakan matlamat penubuhan agensi itu.

Sebelum ini, Menteri Sumber Manusia, Steven Sim memaklumkan kementerian itu mempertimbangkan cadangan membuat laporan polis susulan isu tadbir urus HRD Corp seperti didedahkan LKAN Siri 2/2024.

Beliau berkata, setakat ini laporan telah dibuat kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan kementerian itu juga melaksanakan audit bebas oleh pihak ketiga ke atas HRD Corp. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Mmg laa Auditor tak sebut tentang rasuah sebab dia bukan SPRM…aiyooo level lawyer Malaysia…

Comments are closed.