Sunday, December 15, 2024
Home Nasional Sistem PADU ditambah baik jamin keselamatan

Sistem PADU ditambah baik jamin keselamatan

Rafizi Ramli
KUALA LUMPUR – Sistem Pangkalan Data Utama (PADU) akan digunakan dalam pelbagai keperluan fungsian yang dibangunkan oleh pelbagai agensi dalam usaha menambah baik perancangan program sosioekonomi pada masa akan datang.
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, usaha itu melibatkan khususnya dalam mengoptimumkan sumber, mengurangkan ketirisan dan meningkatkan kesejahteraan rakyat.
“Penambahbaikan sistem PADU menjamin keselamatan dan dinamik sehingga dapat memenuhi ciri-ciri masa nyata yang tidak perlu dikemaskinikan secara pemutihan dan sebagainya.
“Kerajaan juga sedang meneliti pembentukan keperluan fungsian dan antara keperluan fungsian utama ialah mekanisme penyaluran subsidi bersasar,” katanya sesi soal jawab di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee (PN-Beluran) mengenai ketersediaan kerajaan dari segi data dan mekanisme melaksanakan penyasaran subsidi.
Rafizi menambah, jika dibandingkan sebelum ini tanpa PADU, permohonan sesuatu program bantuan diumumkan oleh kerajaan perlu disemak satu persatu.
Ia katanya, perlu melalui pelbagai jabatan seperti Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang proses semakan itu mengambil masa yanng panjang.
Mengenai inisiatif kerajaan untuk meningkatkan penguasaan ekonomi bumiputera, Rafizi berkata, kerajaan masih lagi meneruskan pemberian geran bagi membantu usahawan bumiputera dan dikelaskan mengikut kumpulan penerima.
“Kerajaan telah memberi petunjuk dasar yang jelas bahawa penyertaan syarikat berkaitan kerajaan dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan perlu diperluas supaya menjadi lebih proaktif dalam mempergiatkan serta mengerakkan agenda permerkasaan ekonomi bumiputera,” katanya.
Rafizi berkata demikian menjawab soalan Datuk Amzad Mohamed@Hashim (PN-Kuala Terengganu) mengenai usaha kerajaan untuk meningkatkan penyertaan syarikat tempatan bumiputera khususnya dalam sektor berimpak tinggi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast