Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf

KUALA LUMPUR – Polis menasihatkan orang ramai agar menderma dan memberi sumbangan kewangan kepada pertubuhan yang berdaftar serta menjalani proses audit secara sah.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamad Yoosuf berkata, penyelewengan wang atau dana yang disumbangkan membabitkan persatuan dan pempengaruh baru-baru ini seharusnya membuka mata semua pihak.

Katanya, sifat mudah emosi, simpati dan belas kasihan masyarakat untuk membantu individu yang dilanda musibah telah membuka ruang kepada individu yang tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan menangguk di air keruh dengan menggunakan alasan derma.

“Orang ramai perlu memastikan mereka menderma dan memberi sumbangan kewangan hanya kepada pertubuhan yang didaftarkan dan yang menjalani proses audit.

“Derma dan sumbangan kini tidak hanya melibatkan bantuan ketika bencana tetapi kini ia turut melibatkan perkara seperti bantuan bayaran yuran guaman dan sumbangan untuk pembelian haiwan bagi tujuan korban di luar negara dan sebagainya,” katanya dalam sidang media ibu pejabat JSJK Bukit Aman di Menara KPJ, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai beberapa tangkapan melibatkan individu dan pempengaruh media sosial oleh polis berhubung isu penyelewengan wang derma baru-baru ini.

Semalam, pasangan suami isteri pempengaruh media sosial dipercayai terlibat dalam isu penyelewengan wang kutipan derma direman empat hari bagi membantu siasatan.

Mengulas lanjut, Ramli berkata, orang ramai perlu tahu bagaimanana wang yang didermakan mereka digunakan oleh penerima.

“Akaun bank milik pertubuhan yang mengutip derma ini juga perlu menjalani proses audit bagi memastikan wang derma yang diterima masyarakat disalurkan kepada pihak yang sepatutnya,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast