Mairitim Malaysia menahan seorang tekong warga tempatan bersama empat kru warga Myanmar dalam Op Ehsan, Op Murni dan Op Tiris di Sekinchan, hari ini.

PELABUHAN KLANG – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Selangor menahan sebuah bot nelayan tempatan kelas C di kedudukan 9.8 batu nautika barat daya Sekinchan, semalam.

Pengarah Maritim Selangor, Kapten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata, penahanan itu dibuat kapal peronda Maritim Malaysia menerusi OP Ehsan, OP Murni dan OP Tiris di kedudukan bawah 15 batu nautika dari daratan kira-kira 11.10 malam

“Tangkapan dilakukan ketika kru bot berkenaan sedang leka melakukan aktiviti penangkapan ikan.

“Pemeriksaan awal mendapati, bot berkenaan dikendalikan oleh seorang tekong warga tempatan, 57 tahun bersama empat kru warga Myanmar berusia dalam lingkungan 26 hingga 36 tahun,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurut beliau, hasil pemeriksaan lanjut mendapati kesemua kru gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah serta permit kerja atau surat kebenaran daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia.

“Bot bersama kru yang ditahan dibawa ke Jeti Pasukan Polis Marin, Pulau Indah di sini sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Negeri Selangor,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat sah lesen iaitu melakukan aktiviti penangkapan ikan bawah 15 batu nautika, menggajikan pekerja asing tanpa kebenaran Ketua Pengarah Perikanan Malaysia.

“Mereka juga melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 kerana kru tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya.

Katanya lagi, Maritim Malaysia akan terus meningkatkan pemantauan dan penguatkuasaan undang-undang di kawasan perairan Malaysia khususnya perairan Selangor.

“Sebarang aduan, maklumat dan insiden kecemasan serta aktiviti jenayah di laut orang ramai boleh menyalurkannya ke Perkhidmatan Panggilan Kecemasan Next Generation Emergency Service (NG999) atau Pusat Operasi Maritim Selangor (013-6606652) atau Pusat Operasi Maritim Malaysia (03-89957820),” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast