KUALA LUMPUR – Seorang maut manakala seorang lagi cedera selepas motosikal yang dinaiki dua orang wanita trlibat dalam kemalangan dengan sebuah lori kontena dalam kejadian di Jalan Masjid, KLIA di Sepang hari ini.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata, pihaknya menerima panggilan orang awam yang memaklumkan tentang kemalangan maut itu sekitar jam 3.22 petang tadi.
Katanya, bertindak atas maklumat itu, tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat KLIA Bersama sebuah jentera Emergency Medical Rescue Services (EMRS) telah bergegas ke lokasi nahas untuk tindakan lanjut.
“Sejurus tiba di lokasi, pemeriksaan mendapati kemalangan melibatkan sebuah lori kontena dan sebuah motorsikal Honda dash.
“Siasatan mendapati dua wanita tempatan yang menaiki motosikal dipercayai bergesel dengan lori kontena terbabit sebelum hilang kawalan dan terjatuh atas jalan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah beliau, berikutan perlanggaran itu, salah seorang mangsa wanita penunggang motorsikal didapati tersepit di bawah lori.
Katanya, siasatan punca kemalangan itu mendapati motosikal dinaiki kedua-dua mangsa bergesel dengan lori kontena sebelum pembonceng (penumpang belakang) terjatuh di tayar lori sebelum diseret sejauh 80 meter.
“Mangsa telah dikeluarkan oleh pihak bomba pada jam 3.33 petang tadi sebelum pemeriksaan mendapati mangsa berusia 25 tahun mengalami kecederaan parah dan telah disahkan meninggal dunia di lokasi nahas tersebut.
“Manakala, seorang lagi rakan wanitanya berusia 39 tahun mengalami cedera ringan.
“Mayat mangsa dibawa ke Hospital Cyberjaya oleh ambulans Kementerian Kesihatan untuk proses bedah siasat bagi menentukan punca sebenar kematian dan kes diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya lagi.-MalaysiaGazette