Pensyarah Kanan mengaku tidak bersalah buat tuntutan palsu hampir RM23,000

KUANTAN – Seorang Pensyarah Kanan sebuah universiti awam dihadapkan ke Mahkamah Sesyen 2, di sini, atas tiga pertuduhan mengemukakan tuntutan mengandungi butiran palsu bernilai RM22,866.29 empat tahun lalu.

Bagaimanapun tertuduh, Abd Aziz Azoddein, 57, mengaku tidak bersalah terhadap kesemua pertuduhan itu selepas dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Mohd Sabri Ismail.

Menurut kertas pertuduhan, dia sebagai seorang Pensyarah Kanan di Pejabat Fakulti Sains dan Teknologi Industri Universiti Malaysia Pahang (UMP) telah menggunakan dengan niat untuk memperdaya prinspipalnya iaitu UMP, satu pernyataan palsu tentang pembelian bahan bekalan atas nama Gomogi Consulting berjumlah RM12,340 untuk kegunaan penyelidikan yang mana bahan tersebut tidak dibekalkan pada 15 Disember 2021.

Bagi pertuduhan kedua pula, pada tarikh sama, dia dituduh secara tidak jujur menggunakan dokumen sebagai tulen berkaitan bayaran penginapan di Resort World Kijal selama tiga hari dua malam untuk dua bilik bagi Program Training of Wastewater Treatment System for KY Global Sdn Bhd berjumlah RM1,200.

Bagi pertuduhan ketiga, Abd Aziz dituduh memalsukan dokumen perakuan penerimaan bahan yang dibeli untuk kegunaan penyelidikan atas nama Greentel Solution Enterprise berjumlah RM9,326.20 pada tarikh 15 Disember 2020.

Bagi ketiga-tiga kesalahan yang dilakukan di Jabatan Bendahari  UMP itu, Abd. Aziz didakwa melakukan kesalahan di bawah seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum dibawah seksyen 24(2) Akta yang sama.

Dia boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai butir matan yang palsu atau silap itu jika butir matan yang palsu atau silap itu dapat dinilai atau berbentuk wang, atau RM10,000 , mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Abd Aziz juga mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan pilihan iaitu secara tidak jujur mengemukakan dokumen palsu bayaran pembelian bekalan bagi kegunaan penyelidikan, bayaran penginapan bagi sebuah program dan pembelian bekalan bagi sebuah program pada tarikh terbabit.

Bagi kesalahan tersebut, dia membuat kesalahan di bawah seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah seksyen 465 Kanun yang sama iaitu hukumn penjara sehingga dua tahun atau dengan denda atau dengan kedua-duanya.

Timbalan Pendakwa Raya, Mohammad Asyraf Mohamed Tahir dan Rifah Izzati Abdul Mutalif mencadangkan jumlah jaminan sebanyak RM50,000 dengan syarat tambahan pasport antarabangsa milik tertuduh diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai dan tertuduh perlu melapor diri ke Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia terdekat sebulan sekali.

Peguambela tertuduh, Muhammad Amirull Afiqq Mohamad Lokman memohon agar wang jaminan dikurangkan pada kadar minimum memandangkan tertuduh yang berpendapatan bulanan RM10,000 masih menyara isteri, dua anak yang masih belajar, abang yang lumpuh dan anak saudara yang merupakan ibu tunggal.

Justeru, Hakim Mohd Sabri Ismail membenarkan wang jaminan sebanyak RM15,000 dikenakan kepada Abd Aziz berserta dua syarat tambahan sebagaimana dipohon pihak Pendakwa Raya.

Mahkamah menetapkan 27 Ogos depan untuk sebutan semula kes. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast