PUTRAJAYA – Pemimpin tertinggi Bersatu sepatutnya dipersalahkan apabila Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul membuat keputusan tidak mengosongkan kerusi enam bekas wakil rakyat parti itu.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, ini kerana Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Naib Presidennya, Datuk Radzi Jidin dan Setiausaha Agongnya, Datuk Seri Hamzah Zainudin antara paling lantang menentang pindaan secara menyeluruh Akta Lompat Parti sebelum ini.
Namun jelas beliau, kesemua mereka kini mahu muncul menjadi hero dengan memekik di Dewan Rakyat membantah keputusan Johari yang telah mengikut Perlembagaan.
“Kita semua maklum Tan Sri Muhyidin berpeluang melakukan pindaan kepada Pperlembagaan Bersatu seperti UMNO dan DAP yang laku sebelum Pilihan Raya Umum. Jadi semua calon UMNO, DAP malah Keadilan semua tahu dan terikat sama ada akur janji dan Perlembagaan parti.
“Berbeza dengan Bersatu yang paling tidak mahu menyaksikan sejumlah pindaan yang dicadangkan Menteri Undang-Undang ketika itu, sekarang Tun Wan Junaidi (Tuanku Jaafar) dan malah banyak lagi yang boleh diceritakan.
“Tentang sikap beberapa orang terpekik terlolong dalam Parlimen baru-baru ini, mereka lah antara yang paling tidak setuju dengan pindaan sekiranya dilakukan akan menghalang kejadian yang kita saksikan sekarang.
“Apa saya boleh kata, senjata makan tuan. Kalau mereka hendak salahkan sesiapa, salah Tan Sri Muhyiddin, Hamzah dan Radzi, tanya siapa yang paling tidak mahu pindaan yang menyeluruh, jadi jangan sekarang hendak tunjuk hero,” katanya pada sidang media di kementerian di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Fahmi menegaskan, mengikut Peraturan Mesyuarat 99, keputusan yang dibuat Yang Di-Pertuan Dewan Rakyat adalah muktamad.
“Ini adalah perkara asas dalam aturan urusan mesyuarat. Kita semua maklum Perkara 49A (2) yang menyatakan dengan jelas pemecatan tidak bererti kekosongan kerusi dan lompat parti.
“Jadi kalau kita teliti apa yang berlaku adalah ditafsirkan pemecatan terancang. Inilah yang telah berlaku. Apabila perdana menteri berkata Tan Sri Muhyiddin hanya membaca separuh jalan yang beliau maksudkan adalah Perkara 49A (2),” katanya.
Semalam di Parlimen, beberapa Ahli Parlimen Perikatan Nasional seperti Hamzah dan Radzi bersama Ahli Parlimen Beluran, Datuk Ronald Kiandee yang menyuarakan ketidakpuasan hati terhadap keputusan Johari mengekalkan kerusi enam Ahli Parlimen yang telah dipecat daripada Bersatu.
Dewan Rakyat menjadi kecoh apabila beberapa pemimpin dari Pas seperti adalah Datuk Seri Takiyuddin Hassan (Kota Bharu), Datuk Seri Shahidan Kassim (Arau) dan Datuk Awang Hashim (Pendang) bangun menghangatkan suasana. – MalaysiaGazette