KUALA LUMPUR – Seorang lelaki warga tempatan ditahan susulan kes meliwat di sebuah kondominium,di Petaling Jaya, Selangor, 4 Julai lalu.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Jaafar berkata,
suspek berusia 37 tahun itu diberkas oleh pihak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor.
“Tangkapan ke atas suspek dibuat di Ipoh, Perak sekitar jam 11.45 pagi tadi.
“Kemudian suspek telah dibawa ke IPD Petaling Jaya dan akan memohon reman,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Khamis lalu, seorang lelaki warga asing menerima pelawaan kenalan baharunya untuk berbual di rumah sebelum diliwat di kondominium berkenaan.
Shahrulnizam berkata, mangsa berusia 25 tahun berkenalan dengan suspek di sebuah gimnasium pada Mac lalu.
“Suspek kemudian membuka pakaian mangsa dan bertindak mencabul serta meliwat mangsa.
“Mangsa tidak menjerit kerana tidak mahu jiran sekitar dengar atau nampak kejadian yang boleh memalukan dirinya,” jelasnya.
Tambah Shahrulnizam, mangsa telah dirawat di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dan pemeriksaan mendapati terdapat kesan koyakan pada dubur.
Susulan itu, kes disiasat di bawah Seksyen 377B Kanun Keseksaan. – MalaysiaGazette
















