KUALA LUMPUR- Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Universiti Teknologi MARA (UiTM), Prof Datin Dr Suzana Sulaiman dinobatkan sebagai 50 Wanita Terbaik Dalam Bidang Pendidikan Dunia pada Anugerah Kongres Pendidikan Dunia 2024 di Mumbai, India, semalam.
Pengiktirafan Suzana sebagai pakar dalam perakaunan pengurusan telah memberi impak besar kepada sektor pendidikan di UiTM, kerajaan serta organisasi antarabangsa seperti Persatuan Akauntan Bertauliah Berkanun (ACCA) dan The Chartered Institute of Management Accountants (CIMA).
“Dengan lebih 33 tahun pengalaman mengajar serta latar belakang pendidikan dari United Kingdom (UK) dan UiTM, beliau memberi pengaruh signifikan kepada landskap pendidikan pada peringkat kebangsaan serta antarabangsa.
“Anugerah itu mengiktiraf wanita yang menyumbang secara signifikan dalam bidang pendidikan melalui inovasi, dedikasi dan kepimpinan,” demikian menurut kenyataan yang dikeluarkan UiTM, hari ini.
Menurut kenyataan itu lagi, pengiktirafan terbabit juga adalah bukti komitmen UiTM terhadap kecemerlangan akademik pada peringkat antarabangsa, sekali gus meningkatkan reputasi universiti berkenaan di mata dunia.
“Beliau turut dijemput memberi syarahan pada World Education Congress. Ia memperlihatkan pengaruh dan ketampakan UiTM dalam forum akademik antarabangsa.
“Pencapaian beliau mencerminkan dedikasi UiTM dalam mewujudkan persekitaran yang kondusif untuk kejayaan pelajar dan pendidik,” katanya.
Majlis penganugerahan itu dihadiri peserta dari pelbagai negara, termasuk India, Bangladesh, Sri Lanka, Pakistan, Amerika Syarikat, Uganda, UK, Bhutan, Jepun dan Qatar.
Penerima anugerah itu dinilai oleh badan-badan antarabangsa seperti World Sustainability, World HRD Congress, World Federation Academic & Educational, World Federation Quality and Professional, World Federation of Human Resources Professionals, dan Thought Leaders International.-MalaysiaGazette