Bangunan Bursa Malaysia Berhad di Bukit Kewangan, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 08 APRIL 2024.

KUALA LUMPUR – Bursa Malaysia dijangka diniagakan lebih tinggi minggu depan berikutan keyakinan yang berterusan terhadap bursa tempatan, kata penganalisis.

Ketua Penyelidikan Pelaburan UOB Kay Hian Wealth Advisors Mohd Sedek Jantan berkata, kenaikan itu diyakini masih mendapat kelebihan dalam tempoh beberapa minggu akan datang, selagi FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) kekal melepasi paras rintangan yang bertukar sokongan pada 1,603.

“Sasaran seterusnya dikesan pada 1,630. Keyakinan kami disokong oleh perkembangan pemulihan di China,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata data eksport China pada Jun yang dikeluarkan pada Jumaat menunjukkan eksport berkembang 8.6 peratus tahun ke tahun manakala sehingga separuh pertama 2024, eksport China meningkat 3.6 peratus tahun ke tahun.

Sementara itu, Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata FBM KLCI meneruskan pemulihannya sejak Rabu lepas, meninggalkan trend pemulihan berbentuk U dan melepasi paras rintangan 1,620 pada Khamis.

“Walaupun terdapat penurunan disebabkan peningkatan ini, kami menyifatkan pembetulan ini sebagai konsolidasi wajar yang diperlukan untuk mengekalkan trend meningkat.

“Purata Pergerakan Eksponen (EMA) 20 hari yang semakin meningkat, selain indeks yang tidak selari dengan keseluruhan EMA, menunjukkan momentum yang boleh memacu indeks menuju paras rintangan seterusnya pada 1,632.

“Penembusan melebihi paras ini mungkin menunjukkan pergerakan meningkat yang selanjutnya” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata dari segi penurunan, paras sokongan segera pada masa ini adalah pada 1,600-1,608, dan sehubungan itu, indeks penanda aras mungkin akan diniagakan dalam jajaran 1,610-1,630 minggu depan.

Pada asas Jumaat kepada Jumaat, FBM KLCI meningkat 8.04 mata kepada 1,619.06 daripada 1,611.02 minggu lepas.

Pasaran ditutup pada Isnin (8 Julai 2024) bersempena dengan cuti gantian Awal Muharam.

Dalam minggu dagangan yang singkat, pasaran kebanyakannya lebih kukuh sejajar dengan peningkatan prestasi bursa serantau dalam keadaan prospek pengurangan kadar faedah Amerika Syarikat yang lebih baik.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 95.71 mata kepada 12,540.70, Indeks FBMT 100 melonjak 97.74 mata kepada 12,110.62, Indeks FBM Emas Syariah mengukuh 108.32 mata kepada 12,915.20, Indeks FBM 70 naik 287.70 mata kepada 18,673.19 dan Indeks FBM ACE menambah 14.90 mata kepada 5,981.21.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan menokok 196.67 mata kepada 17,800.11, dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian menambah 1.04 mata kepada 200.96 manakala Indeks Tenaga susut 2.23 mata kepada 984.52 dan Indeks Perladangan berkurangan 61.93 mata kepada 6,943.71.

Bagi minggu baru berakhir, jumlah dagangan berkurangan kepada 19.39 bilion unit bernilai RM15.69 bilion berbanding 23.79 bilion unit bernilai RM17.49 bilion pada minggu sebelumnya.

Jumlah dagangan Pasaran Utama susut kepada 11.38 bilion saham bernilai RM13.79 bilion daripada 13.10 bilion saham bernilai RM14.49 bilion minggu lepas.

Jumlah dagangan waran berkurangan kepada 3.94 bilion unit bernilai RM496.75 juta berbanding 4.86 bilion unit bernilai RM693.98 juta minggu lepas.

Jumlah dagangan Pasaran ACE merosot kepada 4.05 bilion saham bernilai RM1.39 bilion berbanding 5.82 bilion saham bernilai RM2.29 bilion sebelumnya. – BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast