MUAR – Seorang peniaga pasar malam mengaku tidak bersalah di Mahkamah Seksyen, di sini, hari ini atas 11 pertuduhan merogol dan amang seksual fizikal terhadap seorang pelajar perempuan orang kurang upaya (OKU) berusia 14 tahun antara Mac hingga Mei lalu.
Tertuduh, Lim Khim Tai, 47, membuat pengakuan tersebut selepas semua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Abu Bakar Manat.
Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh berhadapan tiga pertuduhan merogol dan enam pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa yang mempunyai kecatatan mental itu kira-kira jam 8 pagi di bilik tidur sebuah rumah di Jalan Temenggong Ahmad, di sini.
Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan tertuduh antara 8 Mac hingga 24 Mei lalu.
Bagi kesalahan merogol tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376 (2) (k) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 30 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.
Sementara bagi kesalahan amang seksual, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14 (a), Seksyen 14 (b) dan Seksyen 14 (d) Akta Kesalahan- Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKKSTKK) 2017.
Bagi kesalahan itu tertuduh boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan juga sebatan jika sabit kesalahan.
Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya, Danial Munir tidak menawarkan jaminan kerana khuatir tertuduh yang merupakan kenalan bapa mangsa akan mengganggu mangsa yang kini hamil lima bulan.
Mahkamah tidak membenarkan jaminan terhadap tertuduh yang sudah berkahwin itu dan menetapkan 18 September ini sebagai tarikh sebutan semula kes bagi penyerahan dokumen dan lantikan peguam. – MalaysiaGazette