Kamaruzzaman Kamaludeen didakwa atas empat pertuduhan salah guna harta sebuah syarikat di Mahkamah Sesyen Butterworth, Pulau Pinang hari ini.

BUTTERWORTH – Bekas pengarah sebuah syarikat mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas empat pertuduhan menyalahgunakan harta sebuah syarikat berjumlah RM96,780 pada 10 tahun lalu.

Tertuduh, Kamaruzzaman Kamaludeen,51, membuat pengakuan itu selepas semua pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim, Zulhazmi Abdullah.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa melakukan kesalahan menyalahgunakan harta sebuah syarikat membabitkan wang berjumlah RM96,780.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di empat buah bank berasingan di Perai, Seberang Jaya, Bukit Mertajam dan Jeluotng antara 5 Disember 2014 hingga 27 Mei 2015.

Perbuatan dilakukan ketika tertuduh menjawat jawatan Pengarah Syarikat Northern Petrochem Sdn Bhd.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara antara enam bulan hingga 15 tahun dan sebatan serta denda.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Rasyidah Murni Adzmi dan Natrah Fareha Rahmat manakala tertuduh diwakili peguam, Luqman Mazlan dan Irzan Iswatt.

Tertuduh dibenarkan ikat jamin RM4,000 bagi setiap pertuduhan.

Ketika prosiding, Rasyidah Murni mencadangkan tertuduh diikat jamin RM30,000 beserta syarat tambahan perlu lapor diri di Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) setiap awal bulan selain menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Bagaimanapun, Luqman memohon agar anak guamnya diberikan jaminan RM10,000 atas alasan tertuduh perlu menjalani rawatan dialisis, menyara isteri yang sedang sakit serta menanggung perbelanjaan dua anak yang menuntut di universiti.

Hakim kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 bagi setiap pertuduhan beserta syarat tambahan dimohon Rasyidah Murni.

Kes akan disebut semula 26 Ogos depan untuk serahan dokumen. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast