Naib Presiden GPMS, Muhammad Danial Alimin.

KUALA LUMPUR – Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) bersedia bekerjasama dengan pihak berkuasa kesihatan dan institusi pengajian tinggi (IPT) dalam merangka dan melaksanakan program berkenaan kesedaran HIV dan AIDS dalam kalangan penuntut universiti.

Naib Presiden Siswa GPMS, Danial Alimin berkata, ia bagi memastikan isu terbabit dapat ditangani secara berkesan tanpa menjejaskan hak dan martabat penuntut universiti.

Jelasnya, GPMS berharap pihak universiti dapat mempertingkatkan akses kepada perkhidmatan kesihatan yang mesra pelajar dan menyediakan sokongan psikososial kepada mereka yang memerlukan.

Tambah beliau, pihaknya yakin pendekatan berasaskan pendidikan dan sokongan yang menyeluruh adalah lebih berkesan dalam jangka panjang untuk mengurangkan kes HIV dalam kalangan pelajar.

“Kita menyarankan usaha lebih difokuskan kepada pendidikan kesihatan yang komprehensif dan program kesedaran mengenai HIV dan AIDS dalam kalangan pelajar.

“Pendidikan yang menyeluruh ini boleh membantu pelajar memahami risiko, cara pencegahan dan kepentingan untuk menjalani ujian saringan secara sukarela.

“Kita juga menyeru semua pihak untuk bersama-sama memainkan peranan dalam memupuk kesedaran dan memahami isu ini dengan lebih mendalam,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Sebelum ini, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir dalam sidang Parlimen mendedahkan, terdapat peningkatan membimbangkan kes HIV dalam kalangan pelajar berumur 18 hingga 25 tahun di IPT negara ini.

Ekoran itu, wujud gesaan beberapa pihak supaya ujian HIV turut diwajibkan kepada pelajar baru sebelum memasuki IPT, namun dijelaskan Zambry bahawa ujian itu sudah dilaksanakan sebelum ini cuma tidak diuar-uarkan.

Dalam pada itu, Danial berkata, pihaknya berharap maklumat hasil ujian saringan kesihatan pelajar baharu dijamin kerahsiaannya dan tidak tersebar atau dibongkarkan kepada umum.

Jelasnya, pihak universiti dan pihak berkuasa kesihatan perlu memastikan data peribadi pelajar dilindungi sepenuhnya.

“Ini disebabkan kita berpandangan ujian saringan HIV berpotensi menimbulkan stigma dan diskriminasi terhadap pelajar yang didapati positif HIV.

“Ini boleh memberi kesan buruk terhadap kesejahteraan mental dan emosi mereka,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast