Syed Rosli Jamalullail

KUALA LUMPUR – Pemilihan parti perlu dilakukan apabila tamat sesi pada tahun 2026 tanpa sebarang penangguhan lagi.

Ia bertujuan bagi memastikan berlaku transformasi di dalam barisan kepimpinan parti yang ahli-ahli akar umbi dan orang Melayu amat perlukan bagi persiapan menghadapi cabaran PRU-16 nanti.

Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Pandan, Syed Rosli Jamalullai berpandangan, dengan adanya muka baharu mengambil alih pucuk pimpinan parti baik peringkat cawangan, bahagian mahupun pusat – ia akan memberikan nafas baharu pada parti UMNO itu sendiri.

“Rakyat dan ahli akar umbi bukan tidak sayang dan hargai jasa besar UMNO pada orang Melayu tetapi perubahan segera perlu dilakukan supaya UMNO dapat diterima semula oleh rakyat dan ahli akar umbi,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Syed Rosli, bermula dari keputusan PRU-13 sudah nampak penolakkan UMNO sehingga ke PRU-14 yang mana UMNO tumbang buat pertama kalinya dari menjadi kerajaan.

Beberapa isu serta skandal besar yang berlaku antara kalangan pemimpin tertinggi UMNO yang gagal diuruskan dengan baik telah menyebabkan kehilangan keyakinan rakyat dan ahli akar umbi kepada UMNO seterusnya parti itu ditolak sehingga PRU-15 dan PRN di enam negeri pada tahun lepas secara total dan amat mengaibkan.

“Peralihan kuasa perlu berlaku sebelum PRU-16 jikalau UMNO mahu kekal relevan seterusnya mendapat semula keyakinan dan kepercayaan rakyat dan ahli akar umbi.

“Jikalau permilihan ditunda selepas PRU16,saya yakin UMNO akan mendapat keputusan yang lebih mengaibkan nanti seterusnya akan menjadi lebih lemah dan untuk bangkit semua pasti akan menjadi terlalu sukar.

“Ada yang memberikan alasan bahawa jikalau berlaku pemilihan sebelum PRU-16, akan ada banyak pemimpin UMNO dari pelbagai peringkat yang tewas akan mensabotaj parti, saya hendak ingatkan jikalau pun semua 3.6 juta ahli UMNO mengundi calon BN pada PRU-16 nanti kita tetap tidak akan menang kerana ia tidak mencukupi kerana undi dari rakyat yang sebenarnya memainkan peranan penting kemenangan buat setiap parti,” katanya yang juga Ketua UMNO Cawangan Pandan Tengah.

Sebagai bukti seperti parti Pas, keahlian mereka kurang dari satu juta orang namun mereka menang besar pada PRU-15 dan ini jelas membuktikan sokongan ahli sahaja tidak mencukupi kerana sokongan rakyat yang bukan ahli yang menentukan kemenangan sesebuah parti itu.

Justeru, katanya, tiada alasan yang munasabah untuk UMNO menangguhkan lagi pemilihan sehingga selepas PRU-16, ia perlu dilakukan pada tahun 2026 supaya UMNO boleh dibaikpulih seterusnya dapat menyakinkan rakyat kembali menyokong parti.

“Akhir sekali, saya hendak ingatkan kepada pemimpin UMNO, jikalau benar-benar sayangkan UMNO, janganlah mengheret UMNO kepada masalah peribadi sehingga membebankan UMNO seterusnya membuat UMNO ditolak oleh rakyat,” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast