KUALA LUMPUR – Spekulasi kuat kemungkinan besar Peguam Negara ketika ini, Datuk Ahmad Terrirudin Saleh akan dilantik sebagai Hakim Mahkamah Persekutuan seterusnya Hakim Besar Malaya dibantah Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh.
Dalam satu kenyataan, Ramkarpal yang juga mantan Timbalan Menteri Undang-Undang dan Reformasi Institusi sebelum ini berkata, khabar berita lantikan yang sudah dimainkan oleh media baru-baru ini juga tidak mendapat sebarang penafian kerajaan setakat ini.
Kata Ramkarpal, beliau tidak mengkritik prestasi Ahmad Terrirudin sebagai Peguam Negara sebaliknya, amalan melantik Hakim Besar terutamanya apabila adanya ramai lagi hakim-hakim yang layak menjawat jawatan tersebut.
Hakim Besar Malaya adalah kedudukan ketiga tertinggi dalam hierarki kehakiman negara.
“Benar dulu adanya amalan kerajaan terdahulu Peguam Negara dilantik sebagai Hakim Mahkamah Persekutuan dan seorang peguam dilantik sebagai Hakim Mahkamah Rayuan yang akhirnya menjadi Ketua Hakim Negara.
“Tetapi kini Kerajaan Madani harus mengelak daripada meninggalkan amalan melantik hakim Mahkamah Persekutuan yang sedang berkhidmat sebagai Hakim Besar Malaya kerana tidak ada sebab dalam keadaan itu untuk mengambil seseorang yang belum berkhidmat sebagai hakim untuk peranan itu.
“Melantik orang luar ke salah satu jawatan kehakiman paling kanan negara sudah tentu satu langkah ke belakang dan akan mencerminkan komitmen kerajaan terhadap pembaharuan kehakiman,” katanya dalam laman sosial Facebook beliau.
Beberapa hari lepas, media memetik sumber melaporkan nama Terrirudin telah dikemukakan oleh Pejabat Perdana Menteri untuk dipertimbangkan oleh Majlis Raja-raja.
Sambung beliau walaupun terdapat duluan (precedent) orang luar dilantik ke Mahkamah Persekutuan, tetapi duluan sedemikian tidak harus diikuti jika kerajaan komited terhadap pembaharuan institusi.
“Precent ini harus ditinggalkan kerana akan menimbulkan persepsi campur tangan kerajaan memandangkan lantikan dibuat atas nasihat Perdana Menteri di bawah Perkara 122B Perlembagaan Persekutuan.
“Masih ada calon yang layak daripada barisan hakim Mahkamah Persekutuan yang sedang berkhidmat untuk mengisi jawatan Hakim Besar Malaya dan difahamkan syor telah dibuat oleh Jawatankuasa Pelantikan Kehakiman (JAC), iaitu dipengerusikan oleh Ketua Hakim Negara,” ujarnya. -MalaysiaGazette