Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal
Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal

KUALA LUMPUR – Pembangkang akan mengadakan protes jalanan sekiranya kerajaan meneruskan penjualan saham Malaysia Airports Holdings Bhd. (MAHB) kepada Global Infrastructure Partners (GIP).

Ahli Parlimen Machang dari Perikatan Nasional, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, kerajaan sepatutnya, menangguhkan penjualan saham itu dan membawa perkara berkenaan ke Jawatankuasa Khas Parlimen untuk diteliti.

“Mesej utama yang hendak disampaikan hentikan penjualan MAHB kepada GIP – BlackRock dan serahkan kepada Parlimen untuk pro dan kon perkara ini secara lebih mendalam.

“Kalau kerajaan gagal dengar suara ini, kita akan bawa ribuan rakyat Malaysia menyatakan bantahan kepada kerajaan yang buat pekak badak untuk terus jual saham,” katanya pada sidang media di Parlimen, di sini, hari ini.

Wan Ahmad Fayhsal berkata, Ahli Parlimen PN turut menyokong seorang aktivis, M. Mythreyar yang sedang mengadakan mogok lapar di Dataran Merdeka kerana membantah penjualan saham itu.

Tambahnya, aktivis itu juga akan turut menyertai protes yang diadakan oleh Ahli Parlimen di jalan raya.

Sebelum ini, beberapa pihak menggesa Putrajaya membatalkan penjualan saham MAHB kerana kaitan GIP dengan BlackRock, yang mempunyai pegangan dalam syarikat Amerika Syarikat yang menghasilkan senjata digunakan Israel.

Namun Kementerian Kewangan (MoF) menjelaskan, GIP akan beroperasi secara berasingan daripada BlackRock selepas syarikat itu diambil alih kelak.

Menurut kementeraian tersebut, pengurusan GIP juga akan mengekalkan kawalan penuh dan tanggungjawab terhadap hala tuju strategiknya serta syarikat yang dilabur.

“Ini bermakna GIP akan terus beroperasi secara berasingan daripada BlackRock.

“Abu Dhabi Investment Authority (ADIA) bersama GIP juga akan memiliki pegangan minoriti 30 peratus dalam MAHB.

“Segala keputusan penting berkenaan MAHB hanya akan dilaksanakan berdasarkan persetujuan bersama ahli-ahli konsortium,” katanya dalam jawapan bertulis disiarkan di laman sesawang Parlimen.

MoF menegaskan, transaksi bagi pengambilalihan MAHB tidak membabitkan BlackRock sama sekali.

Tawaran pengambilalihan MAHB adalah urusan transaksi komersial dengan perbincangan dijalankan pihak wakil konsortium tidak membabitkan BlackRock.

Sementara itu, daripada segi pelaburan, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, MAHB hanya membelanjakan RM1.4 bilion dalam tempoh lima tahun lalu berbanding RM6.6 bilion oleh Thailand dan RM12 bilion bagi Indonesia.

Atas dasar itu, katanya konsortium terbabit yang diterajui Khazanah dan KWSP akan memiliki majoriti 70 peratus pegangan bersama dalam MAHB.

Jelasnya, tawaran bagi mengambil alih dan menswastakan MAHB memudahkan pembaharuan dilaksanakan dengan kadar segera.

Beliau berkata, baki 30 peratus pegangan di bawah konsortium terbabit akan dimiliki ADIA dan GIP berperanan melalui pengalaman dan kepakaran teknikal dalam pengendalian operasi lapangan terbang antarabangsa. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast