KUALA LUMPUR – Kerajaan memperuntuk sebanyak RM30 juta menerusi Pembiayaan Tabung Modal Pusingan SKM (TMPSKM) bagi koperasi berkelayakan bagi merancakkan industri pelancongan di negara ini.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick berkata, permohonan boleh dibuat bagi mengembang atau memperluas aktiviti perniagaan mereka di sektor tersebut.
“Bagi tahun 2023 dan sehingga 31 Mei 2024, sebanyak lima koperasi menjalankan aktiviti pelancongan telah diluluskan pembiayaan berjumlah RM4.2 juta,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
“Kementerian melalui Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) menyokong penuh keputusan kerajaan dalam menganjurkan Tahun Melawat Malaysia 2026 dengan memastikan keterlibatan koperasi dalam sektor pelancongan.
“Sehingga 31 Disember 2023, sebanyak 233 koperasi yang terlibat secara khusus dalam sektor pelancongan yang meliputi 39 aktiviti berasaskan pelancongan seperti hotel dan inap desa, penjagaan diri dan kesihatan, pusat kecantikan, spa dan salon serta termasuklah kraf seperti batik, kraftangan dan sebagainya,” katanya. – MalaysiaGazette