JERTIH – Polis menahan seorang buruh yang disyaki merogol cucu tirinya kira-kira tiga tahun lepas, ketika remaja berumur 14 tahun itu masih belajar di tahun 5, dekat sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Besut, Supt Abdul Rozak Muhammad berkata, kejadian terbongkar apabila remaja yang mendapatkan rawatan di Hospital Besut di sini kerana masalah kemurungan itu menceritakan mengenai tekanan yang ditanggungnya kepada doktor yang merawatnya.
“Laporan polis dibuat semalam oleh pihak hospital… Remaja itu tinggal bersama neneknya dan suspek selepas ibu bapanya berpisah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, susulan laporan, polis memberkas suspek berusia 55 tahun itu pada pukul 10 malam, dan buruh itu kini direman tujuh hari untuk siasatan di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan. – Bernama