M Kulasegaran
M Kulasegaran

KUALA LUMPUR – Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), M Kulasegaran mengakui beliau turut menjadi mangsa buli siber secara tidak langsung.

Beliau berkata, insiden itu berlaku apabila tuduhan dilemparkan ke atas beliau yang berseronok dengan seorang wanita muda.

Susulan itu, beliau dikecam teruk di platform TikTok sedangkan wanita tersebut adalah isterinya.

“Minggu ini saya balik, isteri saya memberi saya satu video yang dia dapat melalui TikTok. Saya pun terima dan (video ini) kata Kula dengan seorang perempuan muda, dia enjoy (berseronok).

“Dalam Bahasa Tamil dia (orang itu) kata, orang ini (Kulasegaran) tak ikut umurnya. Macam mana dia boleh (berhibur) dengan perempuan muda, tak malu, macam-macam dia kata. Hentam (saya) cukup-cukup. Tapi dia tak tahu, perempuan muda itu (sebenarnya) isteri saya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Sumpah dan Ikrar (Pindaan) 2024 di Dewan Rakyat, hari ini.

Kulasegaran bersetuju bahawa kesalahan buli siber perlu diambil tindakan yang tegas.

Beliau berkata, ia termasuk membabitkan kes terhadap pempengaruh media sosial, A Rajeswary atau lebih dikenali sebagai Esha yang meninggal dunia dipercayai ada kaitan dengan tekanan yang dihadapinya kerana menjadi mangsa buli siber.

“Ahli politik ada ketahanan tinggi (terhadap buli siber) tetapi dalam kes Rajeswary memang sangat tidak adil dan saya harap mereka boleh disiasat sedalamnya.

“Ada prosedur tertentu Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang boleh membuat siasatan dan mengambil tindakan tegas,” katanya.

Sementara itu, Kulasegaran memaklumkan kerajaan sedang memperhalusi cadangan untuk mewujudkan dasar membabitkan peruntukan undang-undang khusus mengenai buli siber yang semakin menjadi-jadi.

Beliau berkata, sehingga kini pandangan semua pihak termasuk ahli akademik akan dipertimbangkan ke arah mewujudkan peruntukan itu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast