File picture

KUALA LUMPUR – Berdasarkan kemampuan kewangan semasa, kerajaan tiada perancangan untuk menguatkuasakan semula Program Tanam Semula Sawit secara geran buat masa ini, kata Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Chan Foong Hin.

Bagaimanapun, katanya, kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM100 juta secara hibrid iaitu 50 peratus dalam bentuk geran dan 50 peratus pinjaman untuk melaksanakan Program Tanam Semula Sawit (TSPKS 2.0) pada tahun ini.

Katanya, seramai 1,500 pekebun kecil sawit akan menerima manfaat daripada program itu meliputi keluasan tanam semula sebanyak 5,900 hektar.

“Melalui peruntukan yang disediakan oleh kerajaan ini, kita berharap ia akan dapat membantu pekebun kecil persendirian meningkatkan pendapatan dan produktiviti dalam sektor sawit secara keseluruhan,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab soalan Jamaludin Yahya (PN-Pasir Salak) yang ingin tahu mengenai perancangan kementerian untuk menguatkuasakan semula Program Penanaman Semula Sawit yang dahulunya pinjaman menjadi geran.

Katanya, sehingga 12 Julai lepas, seramai 413 pekebun kecil dengan keluasan tanaman 1,725 hektar melibatkan nilai pembiayaan sebanyak RM26.93 juta telah diluluskan oleh Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB).

Beliau berkata, sehingga Mac 2024, terdapat seramai 441,847 pekebun kecil sawit di Malaysia yang terdiri daripada 233,439 pekebun kecil tersusun dan 208,408 pekebun kecil persendirian.

“Hanya pekebun kecil persendirian sahaja yang layak untuk menikmati bantuan inisiatif Tanam Semula Sawit,” katanya. – BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast