KUALA LUMPUR – Enam premis perniagaan di Segambut di sini dikenakan tindakan atas kesalahan melakukan halangan di tempat awam.
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memaklumkan, tindakan diambil oleh Jabatan Penguatkuasaan menerusi operasi tindakan khas pindah halangan ke atas premis dan penjaja yang membuat halangan di tempat awam, semalam.
Katanya, tindakan itu dibuat selepas pihak berkuasa tempatan (PBT) berkenaan melakukan pemantauan dan rondaan susulan aduan daripada orang awam.
“Keenam-enam premis perniagaan itu telah dikenakan tindakan pindah halangan di bawah Seksyen 46(1)(d), Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 atas kesalahan meletakkan barangan yang berkaitan dengan perniagaan di tempat awam.
“Kesemua barangan yang diambil tindakan pindah halangan telah dibawa ke Stor Sitaan Jalan Lombong, Taman Miharja Cheras, Kuala Lumpur untuk tindakan rekod dan dokumentasi,” katanya dalam kenyataan.
Tegasnya, DBKL akan meneruskan tindakan dan pemantauan dari semasa ke semasa di lokasi tumpuan yang telah dikenalpasti.
Sehubungan itu katanya, sebarang aduan daripada orang awam mengenai perkara-perkara seumpama itu boleh disalurkan melallui pautan http://adukl.dbkl.gov.my/eApps/system/index.do – MalaysiaGazette