Kanak-kanak Bajau kelihatan sedang bermain sambil menangkap ikan di hadapan rumahnya ketika tinjauan Malaysia Gazette di Pulau Bum Bum, Semporna, Sabah. foto 25 SEPTEMBER 2020.

KOMUNITI Bajau Laut, yang juga dikenali sebagai Pala’u, telah lama mendiami perairan Sabah, khususnya di daerah Semporna, Tawau, dan Lahad Datu. Nama Pala’u dipercayai berasal daripada perkataan “perahu” atau “pelaut,” yang mencerminkan cara hidup komuniti ini yang sering berada di laut. Namun, isu pendidikan menjadi tanda tanya besar kerana komuniti ini terkecuali daripada akses pendidikan yang sempurna. Hal ini demikian kerana komuniti Pala’u dikategorikan sebagai tiada kewarganegaraan (stateless) dan tidak memiliki dokumen pengenalan diri seperti sijil lahir atau kad pengenalan. Tambahan pula, perbezaan terma undang- undang antara kerajaan negeri Sabah dan Kerajaan Persekutuan menambah kekangan bagi mereka untuk mendapatkan pendidikan formal.

Kanak-kanak tanpa warganegara yang lain masih dapat mengakses pendidikan formal jika memiliki dokumen seperti sijil lahir, surat anak angkat atau perintah mahkamah tetapi jika tiada dokumen berkenaan mereka perlu pengesahan daripada ketua masyarakat atau wakil rakyat untuk menduduki peperiksaan awam seperti UPSR atau SPM. Namun, kanak-kanak Pala’u yang langsung tidak mempunyai dokumen menghadapi cabaran yang lebih besar. Masalah dokumentasi yang kompleks dan perbezaan terma undang-undang menghalang mereka daripada menikmati hak pendidikan yang sewajarnya. Walaupun terdapat usaha daripada NGO dan inisiatif persendirian yang menubuhkan sekolah-sekolah alternatif, ia masih belum mencukupi untuk menangani masalah ini secara menyeluruh.

Pendidikan adalah hak asasi yang sepatutnya dinikmati oleh setiap kanak-kanak, sebagaimana yang termaktub dalam Perkara 26 Pengisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat (UDHR). Perkara ini menegaskan bahawa setiap individu berhak mendapatkan pendidikan wajib dan percuma di peringkat rendah dan asas. Namun begitu, Kerajaan Malaysia telah mengecualikan Artikel ini, terutamanya Artikel 28(1)(a), kerana pendidikan peringkat rendah yang wajib dan percuma hanya diberikan kepada kanak-kanak yang berstatus warganegara Malaysia sahaja. Pendekatan ini jelas bertentangan dengan semangat universal dan prinsip keadilan serta kesaksamaan yang diperjuangkan oleh Artikel 3 dalam Perisytiharan Pendidikan untuk Semua, di mana Malaysia turut menandatangani perjanjian tersebut.

Islam menganggap pendidikan sebagai hak asasi yang perlu dinikmati oleh setiap individu tanpa mengira latar belakang atau status kewarganegaraan. Al-Quran menekankan kewajipan menuntut ilmu, seperti yang dinyatakan dalam Surah al-Alaq ayat 1-5, di mana Allah SWT memerintahkan manusia untuk membaca dan mencari ilmu. firman ini bukan sahaja menggariskan kepentingan ilmu dalam kehidupan seorang Muslim tetapi juga menekankan bahawa pencarian ilmu adalah kewajipan yang universal. Hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Ibnu Majah menyatakan, “Menuntut ilmu itu wajib bagi setiap Muslim,” yang dengan jelas menegaskan bahawa pendidikan adalah hak yang harus diperoleh setiap individu serta tanggungjawab yang harus dipenuhi oleh semua. Ini menggambarkan bahawa pendidikan dalam Islam adalah asas kepada pembangunan individu yang holistik dan pencapaian kesejahteraan sosial.

Prinsip keadilan dalam Islam turut menuntut agar semua kanak-kanak, tanpa mengira status mereka, diberi peluang yang sama untuk mengakses pendidikan berkualiti. Dalam Surah An-Nisa ayat 58, Allah SWT berfirman, “Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menyampaikan amanah kepada yang berhak menerimanya, dan apabila kamu menetapkan hukum di antara manusia, hendaklah kamu menetapkannya dengan adil”. Amanah ini merujuk kepada tanggungjawab sosial dan moral untuk memastikan hak-hak pendidikan tidak dinafikan kepada mana-mana pihak.

Islam menuntut keadilan bukan hanya dalam aspek hukuman tetapi juga dalam penyediaan peluang pendidikan yang sama rata. Dengan memberikan pendidikan kepada kanak-kanak tanpa kewarganegaraan seperti Pala’u atau Bajau Laut, masyarakat bukan sahaja memenuhi tuntutan keadilan tetapi juga membantu dalam memutuskan kitaran kemiskinan dan meningkatkan kualiti hidup mereka. Dalam perspektif Islam, pendidikan adalah hak asasi yang harus diberikan kepada semua individu tanpa sebarang diskriminasi. Keadilan dan tanggungjawab sosial yang ditekankan oleh ajaran Islam menuntut agar setiap kanak-kanak, tanpa mengira status mereka, diberi akses kepada pendidikan yang berkualiti, sebagai langkah penting menuju ke arah kesejahteraan sosial dan pembangunan masyarakat yang holistik.

Untuk mengatasi masalah ini, beberapa langkah yang komprehensif perlu diambil oleh semua pihak yang berkepentingan. Pertama sekali, kerajaan harus memperkukuhkan dasar-dasar yang sedia ada dan memastikan pelaksanaannya dilaksanakan dengan tegas serta tanpa sebarang diskriminasi. Kementerian Pendidikan, Jabatan Pendaftaran Negara, dan pihak berkuasa berkaitan perlu berganding bahu dalam menyediakan mekanisme yang lebih mesra pengguna, bagi memudahkan proses mendapatkan dokumen khusus untuk komuniti Pala’u ini, seterusnya membuka laluan kepada akses pendidikan yang sewajarnya.

Di samping itu, sokongan daripada sektor swasta dan badan bukan kerajaan (NGO) amat diperlukan. Mereka boleh berperanan dengan menyediakan bantuan kewangan, sumber pendidikan, dan program sokongan untuk kanak-kanak ini. Sebagai contoh, syarikat-syarikat boleh menaja program pendidikan atau menawarkan biasiswa kepada kanak-kanak tanpa warganegara yang cemerlang dalam akademik. Komuniti setempat juga memainkan peranan yang sangat signifikan. Kesedaran dan pendidikan mengenai hak-hak kanak-kanak perlu dipertingkatkan untuk mengurangkan stigma dan diskriminasi. Program-program kesedaran masyarakat mampu mengubah persepsi dan sikap negatif terhadap kanak-kanak tanpa warganegara, seterusnya mewujudkan persekitaran yang lebih inklusif dan menyokong.

Masa depan Malaysia bergantung kepada kemampuan kita untuk memastikan setiap kanak-kanak mendapat peluang yang sama dalam pendidikan, terutamanya yang terdiri daripada komuniti Bajau Laut. Mereka ini tidak seharusnya dipinggirkan atau ilupakan. Mereka juga adalah aset negara yang, dengan bimbingan dan peluang yang betul, mampu menyumbang kepada pembangunan negara. Pendidikan merupakan alat perubahan bangsa dan tiada satu bangsa yang maju tanpa pendidikan. Ketiadaan akses dalam pendidikan akan menyebabkan sesuatu bangsa itu akan terus mundur dan ketinggalan dalam arus pembangunan dan pemodenan.

Sebagai masyarakat yang prihatin, kita perlu bersatu dalam usaha memastikan bahawa setiap kanak-kanak, tanpa mengira status kewarganegaraan, mendapat hak mereka untuk pendidikan. Hanya dengan pendidikan yang inklusif dan adil, kita dapat membina sebuah masyarakat yang progresif dan bersatu padu. Hala tuju pendidikan kanak-kanak tanpa warganegara adalah tanggungjawab kita bersama, dan tindakan kita hari ini akan menentukan masa depan mereka.

Muhamad Azamuddin Mohamad Ali dan Muhammad Nur Danish Kaman
Mahasiswa Tahun Dua Jabatan Dakwah dan Pembangunan Insan, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast