Menteri Luar Negeri yang juga Ahli Parlimen Rembau, Datuk Seri Mohamad Hasan pada Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Parlimen ke-15 di Dewan Rakyat, Parlimen, Kuala Lumpur. Foto JABATAN PENERANGAN MALAYSIA, 27 JUN 2024.

KUALA LUMPUR – Malaysia telah menandatangani 33 Perjanjian Persefahaman (MoU) persempadanan darat dan sembilan Perjanjian Triti persempadanan maritim dengan negara-negara jiran sehingga.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, bagi persempadanan darat yang melibatkan Malaysia dan Indonesia, jarak sempadan yang telah dimuktamadkan adalah
sepanjang 1,943.2 kilometer (km) iaitu 94.2 peratus daripada 2,064 km menerusi pemeteraian sejumlah 22 MoU.

Tambah beliau, bagi persempadanan maritim yang terbaru, kedua-dua negara telah memeterai Triti Selat Melaka dan Triti Laut Sulawesi pada di Putrajaya pada 8 Jun lalu di mana triti itu akan dikuatkuasa dan dilaksanakan sepenuhnya setelah kedua-dua pihak
menyempurnakan proses dalaman masing-masing.

“Bagi persempadanan darat yang melibatkan Malaysia dan Brunei Darussalam yang meliputi jarak sempadan sepanjang 528.45 km, kedua-dua negara sedang dalam proses rundingan bagi memuktamadkan sebarang MoU.

“Buat masa ini, kerja-kerja penandaan dan pengukuran di lapangan telah berjaya dilaksanakan oleh kedua-dua negara yang meliputi jarak sepanjang 175.96 km atau 33.3 peratus daripada keseluruhan jaraknya.

“Kedua-dua pihak sedang berusaha untuk menyelesaikan isu persempadanan berpandukan garis masa yang telah dipersetujui iaitu selewat-lewatnya pada tahun 2034,” katanya di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Henry Sum Agong yang meminta pendirian kerajaan dalam menentukan garisan sempadan darat dan maritim di antara Malaysia,
Brunei dan Indonesia.

Mengulas lanjut, Mohamad berkata, Malaysia akan terus berunding dengan Indonesia dan Brunei Darussalam melalui mekanisme-mekanisme dua hala yang sedia ada
bagi memuktamadkan persempadanan darat dan maritim. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast