KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) prihatin dan sentiasa
mengambil langkah proaktif untuk terus memantapkan keupayaan guru bahasa Inggeris (BI) dalam melaksanakan pedagogi bermakna yang memanfaatkan pembelajaran murid dalam bahasa itu.
Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, hasil perbincangan antara Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Perdana Menteri Singapura baru-baru ini mencadangkan agar diwujudkan skim bantuan atau sukarelawan berbentuk hubungan diplomasi antara dua negara dan dibiayai oleh Kerajaan Singapura.
Menurut beliau, skim itu bertujuan untuk membantu meningkatkan penguasaan BI murid di kawasan miskin bandar, pinggir bandar dan luar bandar termasuk Sabah dan Sarawak.
“KPM menyambut baik dan sedang meneliti cadangan sukarelawan ini terutama dari sudut pelaksanaan di institusi pendidikan KPM agar perkara ini selari dengan dasar dan peraturan sedia ada.
“KPM juga akan mengenal pasti sukarelawan yang mempunyai kelayakan tertentu bagi menjamin kualiti pengajaran dan pembelajaran.
“Inisiatif seperti ini pernah dilaksanakan oleh KPM dengan melibatkan tenaga pengajar dari negara maju seperti Australia, Amerika Syarikat dan Korea,” katanya di Dewan Rakyat di sini hari ini.
Beliau menjawab soalan Kalam Salan (PN-Sabak Bernama) mengenai perancangan khusus kerajaan berhubung cadangan untuk membawa masuk tenaga pengajar BI dari Singapura ke negara kita yang diumumkan baru-baru ini serta langkah untuk memperkasa pengajaran dan pembelajaran serta latihan untuk guru BI tempatan.
Fadhlina menambah, KPM turut memperkenalkan Pelan Pemerkasaan Pendidikan Bahasa Inggeris (3PBI) pada tahun ini sebagai usaha untuk memperkasakan pendidikan BI dan mengupayakan pedagogi.
Beliau berkata, berasaskan teknologi berdasarkan hala tuju Malaysia Madani, antara program yang dilaksanakan adalah seperti HIPMax, Malaysian Folklore StoryFest, Critical Reading Strategy dan Oral Communication.
“Di bawah Reformasi Pendidikan 2024, Sekolah Pengajar diperkasakan sebagai satu medium komuniti pembelajaran profesional (PLC) yang bertujuan sebagai anjakan
pembelajaran bermakna bagi pensyarah dan guru pelatih serta murid.
“Antara pengisian sekolah pengajar ialah program sahabat BI. Pemerkasaan Sekolah Pengajar ini berupaya membentuk insan sejahtera melalui nilai-nilai adab, santun komunikasi dan nilai perpaduan yang terkandung dalam pelaksanaan aktiviti pengajaran dan pembelajaran (PdP) dan PLC,” katanya.
Fadhlina menambah, selain itu, bagi memperkasa pedagogi guru, KPM melaksanakan program guru Novis di bawah program Teach For Malaysia (TFM).
Katanya, KPM yakin inisiatif dan program yang dilaksanakan ini mampu memantapkan keupayaan guru BI dalam PdP mereka bagi meningkatkan kecekapan berbahasa semua murid di seluruh negara. – MalaysiaGazette