Ketua UMNO Bahagian Tanjung Karang, Datuk Sulaiman Abdul Razak (tengah) bercakap ketika sidang media di Pejabat UMNO Tanjung Karang, Selangor. Foto SADIQ SANI, 15 JULAI 2024

TANJONG KARANG – Bekas Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar perlu membalas jasa parti Melayu itu yang selama ini banyak membantu membina karier politiknya termasuk menjadi ahli Parlimen selama enam penggal.

Ketua UMNO Bahagian Tanjong Karang, Datuk Sulaiman Abdul Razak berkata, tidak sepatutnya timbul soal ahli-ahli parti itu perlu membalas jasa Noh yang banyak membantu rakyat ketika bergelar wakil rakyat hampir 30 tahun.

“Kali ini bukan kita nak kena balas budi, beliau kena balas budi UMNO, bukan UMNO balas budi beliau.

“Sebab selama enam penggal beliau mendapatkan pelbagai bentuk kemudahan dan nikmat yang orang lain tak dapat.

“Ada ahli-ahli UMNO dari mula masuk UMNO sampai dia pencen dalam UMNO tak pernah rasa jadi calon.

“Bila dapat jadi calon enam kali, beliau sepatutnya membalas jasa UMNO dengan cara beliau tidak masuk parti lain,” katanya pada sidang media tergempar di ibu pejabat UMNO Bahagian Tanjong Karang, di sini, malam tadi.

Sebelum ini, MalaysiaGazette melaporkan, bekas Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi itu mengumumkan untuk menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkuat kuasa serta-merta, 4 Julai lalu.

Noh yang juga bekas Ahli Parlimen Tanjong Karang itu memohon menyertai Bersatu secara dalam talian pada 3 Julai, tanpa diketahui mana-mana pihak dan sijil keanggotaan juga diterima serta-merta.

Tindakan Noh itu dibuat setelah Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan Datuk Seri Najib Tun Razak mengenai kebenaran kewujudan titah adendum Yang di-Pertuan Agong ke-16 agar bekas Perdana Menteri itu menjalani baki hukuman penjara enam tahun di rumah.

Sulaiman mengingatkan Noh bahawa jasa UMNO terlalu besar kepada dirinya termasuk dalam memperoleh gelaran dan pangkat.

“Kenanglah sikit jasa UMNO yang banyak memberi kemudahan kepada beliau dengan pelbagai bentuk terutamanya darjah kebesaran. Itu semua hasil sumbangan UMNO kepada beliau.

Katanya lagi, Noh perlu berlapang dada dengan keputusan UMNO menamakan calon lain dalam pilihan raya lalu dan menghargai segala usaha jentera parti kepada beliau dan tidak merosakkan usaha baiknya selama ini.

“Tempat ini (UMNO Bahagian Tanjong Karang) yang pernah menaikkan nama dia, sepatutnya bukan dipijak tapi dijunjung bersama kami dan berilah peluang kepada anak-anak muda.

“Sudah beri enam penggal, cukup laa bung dan saya rasa ahli-ahli UMNO janganlah terpesona dengan kenyataan kita kena membalas jasa, beliau kena memberi jasa dan sokongan kepada UMNO,” katanya lagi. – MalaysiaGazette