KUALA LUMPUR – Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang bersalah berhubung siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membabitkan agensinya.
Menterinya, Steven Sim Chee Keong menegaskan, negara mempunyai prosedur membabitkan urusan pelantikan dan penggantungan atau pembuangan seseorang pekerja tidak kira di bawah (agensi) kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) mahupun swasta.
Beliau merujuk berkaitan isu Pembangunan Sumber Manusia Bhd (HRD Corp).
“Saya telah kemukakan di Parlimen pada minggu lepas bahawa dalam isu ini (HRD Corp) saya bagi jaminan, sesiapa yang bersalah, no one is safe (tiada sesiapa yang akan selamat daripada tindakan).
“Tiada orang yang akan dilindungi, tiada yang akan selamat jika mereka bersalah.
“Tindakan akan diambil, tindakan paling tegas akan diambil, termasuk tindakan undang-undang,” katanya pada sidang media di Parlimen hari ini.
Beliau mengulas berhubung perkembangan siasatan SPRM mengenai isu pengurusan HRD Corp.
Dalam pada itu, Steven berkata, KESUMA memberi ruang kerjasama sepenuhnya kepada pihak SPRM untuk melakukan siasatan berdasarkan isu yang dibangkitkan.
“Seperti yang kita maklum, kalau perkara ini di bawah SPRM, maka ia bukan isu gantung ke buang ke, ini isu jenayah mengikut Akta SPRM.
“Mereka (SPRM) dengan segera membentuk satu pasukan petugas khas untuk melakukan siasatan dan sebagainya dan mereka telahpun melawat pejabat HRD Corp, melawat kementerian untuk mengambil dokumen-dokumen berkaitan,” ujarnya.
Mengulas lanjut, Sim berkata, KESUMA telah menubuhkan pasukan petugas yang dikepalai ketua setiausaha kementerian berkenaan, Khairul Dzaimee Daud, untuk membincangkan cadangan yang dibuat PAC dan Ketua Audit Negara.
Pasukan petugas khas berkenaan, katanya, sudah bermesyuarat sebelum ini dan akan bertemu sekali lagi apabila sesi sidang Parlimen sekarang berakhir tidak lama lagi.
Katanya, dalam mesyuarat kedua nanti pasukan ketugas khas terbabit akan melihat kepada tindakan-tindakan susulan yang boleh diambil selain sebarang isu lain yang berbangkit. – MalaysiaGazette