Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) Pengkalan Chepa, Kelantan. Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Projek bagi menaik taraf Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Kota Bharu, bagi fasa kedua dijangka selesai pada 26 Januari 2025.

Kementerian Pengangkutan berkata, pada masa ini projek berkenaan sedang giat dilaksanakan dengan fasa pertama membabitkan pembinaan siap pada 30 April 2024.

“Apabila projek itu siap sepenuhnya, terminal baharu Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra akan dapat menampung kapasiti sehingga empat juta penumpang setahun,” kata kementerian itu menerusi jawapan bertulis yang disiarkan menerusi laman sesawang Parlimen.

Kenyataan Kementerian Pengangkutan itu bagi menjawab pertanyaan Datuk Ahmad Marzuk Shaary (PN-Pengkalan Chepa) mengenai status terkini Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra.

Menjelaskan selanjutnya, Kementerian Pengangkutan berkata, selaras dengan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 2 Mei 2024, kementerian sedang meneliti skop teknikal dan anggaran kos bagi melaksanakan usaha pemanjangan landasan di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra dengan tambahan 400 meter, menjadikan keseluruhan landasan sepanjang 2,800 meter.

Langkah itu membolehkan Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra menampung sepenuhnya operasi pesawat dengan Kod 3C seperti Boeing 737-Max dan Airbus 321 Neo dengan jarak perjalanan sehingga lima jam.

Menurut Kementerian Pengangkutan, projek itu dijangka memakan masa selama 18 bulan untuk disiapkan.

“Pelaksanaan projek naik taraf serta pemanjangan landasan ini akan memberi keselesaan kepada penumpang serta membolehkan Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra mengendalikan operasi penerbangan antarabangsa seperti Lapangan Terbang Kuantan dan Ipoh yang mempunyai penerbangan ke Singapura,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast