Steven Sim

KUALA LUMPUR – Rang Undang-Undang Ordinan Buruh Sabah (Pindaan) 2024 dibentang untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat hari ini bagi meminda Ordinan Buruh Sabah (Sabah Bab 67), selepas pindaan kali pertama dibuat pada 2005.

Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong yang membentangkan rang undang-undang (RUU) itu berkata, bacaan kali kedua bakal dibuat pada mesyuarat akan datang.

Sementara itu, dalam sidang media kemudian Steven berkata, pindaan kali ini bersejarah dan diusahakan selama hampir 20 tahun bagi menyeragamkan hak serta perlindungan golongan pekerja di Sabah dengan Semenanjung Malaysia mengikut Akta Kerja 1955.

“Dalam menjayakan usaha ini, KESUMA (Kementerian Sumber Manusia) berterima kasih kepada kerajaan Sabah atas kerjasama menjayakan pembentangan RUU ini, demi kepentingan 2.06 juta pekerja dan 187,365 majikan di Sabah,” katanya.

Beliau berkata, pindaan Ordinan Buruh Sabah membabitkan 16 perkara utama meliputi 70 fasal untuk menyelaras undang-undang perburuhan yang merangkumi tiga akta utama yang dikuatkuasakan di Semenanjung Malaysia.

Beliau berkata, ini membabitkan Akta Kerja 1955; Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990; dan Akta Kanak-Kanak dan Orang Muda (Pekerjaan) 1966.

Antara perkara utama dalam pindaan itu membabitkan liputan pemakaian ordinan diperluas daripada pekerja bergaji RM2,500 ke bawah kepada semua pekerja tanpa mengira had gaji atau jenis pekerjaan.

Selain itu, tempoh cuti bersalin di Sabah dinaikkan daripada 60 hari kepada 98 hari, manakala cuti paterniti yang tidak diperuntuk mengikut ordinan itu sebelum ini, kini diberikan kepada bapa sebanyak tujuh hari.

Pindaan turut membabitkan waktu bekerja yang dikurangkan daripada 48 jam seminggu kepada 45 jam seminggu, peruntukan baharu tentang aturan kerja anjal, peruntukan aduan buruh paksa, penambahan bab baharu 11B tentang gangguan seksual serta yang berkaitan perumahan, penginapan dan kemudahan pekerja.

Selain itu, Steven berkata, pindaan penyeragaman Ordinan Buruh Sarawak (Sarawak Bab 76) dengan Akta Kerja 1955 mendapat persetujuan kerajaan negeri Sarawak dan kini dalam proses perincian draf RUU yang dijangka dibentang pada sesi Parlimen akan datang.

“KESUMA yakin dengan pindaan kedua-dua ordinan ini akan memberikan kesan positif kepada kebajikan dan hak pekerja di Sabah dan Sarawak seterusnya meningkatkan imej negara dalam aspek perburuhan,” katanya. – BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast