Logo Polis Diraja Malaysia (PDRM)

PETALING JAYA – Polis telah menahan seorang lelaki yang merupakan guru bagi membantu siasatan kes seorang kanak-kanak lelaki di Pusat Jagaan Kanak-Kanak dipukul di Kelana Jaya semalam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Jaafar berkata, semalam pihaknya telah menerima satu laporan daripada lelaki tempatan berumur 36 tahun mendakwa anak lelakinya dipukul  guru di pusat jagaan kanak-kanak.

Berdasarkan siasatan awal, suspek didapati telah menendang, memukul dan menarik mangsa kanak-kanak lelaki itu secara kasar sehingga mangsa terjatuh dari kerusi.

“Polis juga mendapati kanak-kanak lelaki itu merupakan seorang autisme dan mempunyai kesan gigitan di tangannya,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Tambah Shahrulnizam, bertindak atas laporan, sepasukan anggota polis Petaling Jaya telah membuat tangkapan ke atas satu lelaki berumur 32 tahun bagi membantu siasatan dalam kejadian yang sedang disiasat.

Suspek ditahan di kediamannya yang terletak di Ampang dan merupakan warga tempatan yang bekerja sebagai seorang guru yang mengajar di pusat jagaan kanak-kanak tersebut.

Kes berkenaan sedang disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 kerana disyaki melakukan pengabaian terhadap kanak-kanak di pusat jagaan kanak-kanak tersebut.

“Polis masih sedang meneruskan siasatan bagi mengetahui punca sebenar kejadian,” ujarnya.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kes ini mohon tampil ke balai polis berhampiran atau berhubung terus dengan bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya di talian 03- 79662222. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast