Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani

KOTA BHARU – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Kelantan, Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani dipilih sebagai calon pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri bulan depan.

Perkara itu diumumkan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub pada sidang media hari ini.

Pemilihan Mohd Azmawi berusia 38 tahun diputuskan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan mendapat sokongan daripada kepimpinan UMNO Gua Musang serta akar umbi.

“Pemilihan ini dibuat oleh presiden parti selepas meneliti tiga nama yang dihantar oleh pimpinan UMNO Gua Musang sebelum pucuk pimpinan memilih Mohd Azmawi sebagai calon yang akan bertanding.

“Sudah tentu UMNO sentiasa memberikan ruang dan peluang kepada calon muda yang bakal menjadi pewaris kepada parti.Kita juga yakin Mohd Azmawi yang juga Ketua Pemuda UMNO Gua Musang mampu mengembalikan semula kerusi DUN Nenggiri bulan depan,” katanya seperti laporan Harian Metro.

Mengulas lanjut, Ahmad Jazlan berkata, UMNO Kelantan akan bersama-sama dengan Mohd Azmawi agar dapat memikul tanggungjawab besar yang diberikan itu.

“Selain UMNO Kelantan, parti komponen Barisan Nasional (BN) dan parti komponen Kerajaan Perpaduan serta Badan Perhubungan UMNO Negeri-Negeri akan turut membantu sepanjang tempoh berkempen.

“Kita sedar PRK Nenggiri bukan perkara mudah namun kita berjanji akan berusaha sehabis baik untuk mencapai kejayaan.

“Kita juga merayu pengundi DUN Nenggiri, tidak kira yang berada di mana supaya memberi sokongan dan undi kepada calon UMNO,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast