Hussein Omar Khan.

KUALA LUMPUR – Polis telah membuat tangkapan ke atas enam orang suspek termasuk tiga anggotanya bagi membantu siasatan berhubung kes kehilangan bahan api di dalam Pangkalan Udara Pasukan Gerakan Udara Polis Diraja Malaysia, Subang baru-baru ini.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan telah mengesahkan penahanan tersebut hari ini.

Katanya, pada 15 Julai lalu. pihaknya menerima satu laporan polis berhubung insiden kehilangan bahan api jenis kerosin Jet-A1 di dalam pangkalan udara tersebut.

“Berdasarkan laporan polis yang diterima, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Selangor telah membuka satu kertas siasatan di Bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan atas kesalahan pecah amanah jenayah.

“Ekoran daripada siasatan yang dijalankan pada 16 Julai lalu, polis berjaya membuat beberapa siri tangkapan ke atas enam suspek lelaki berusia lingkungan antara 31 hingga 55 tahun selepas disyaki berkait dalam kes yang sedang disiasat ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Hussein, tiga daripada enam suspek yang ditahan itu merupakan pegawai rendah polis yang bertugas di dalam Pangkalan Udara Semenanjung PDRM tersebut.

“Kesemua enam suspek yang ditahan itu telah dibawa ke Mahkamah Majistret Petaling Jaya pada Rabu lalu untuk permohonan perintah reman.

“Mahkamah yang meneliti permohonan itu membenarkan reman selama dua hingga tujuh hari ke atas keenam-enam suspek sehingga 23 Julai ini bagi membantu siasatan lanjut kes tersebut.

“Polis ingin menegaskan bahawa kita tidak akan berkompromi dan akan mengambil Tindakan tegas berlunaskan undang-undang walaupun kes melibatkan penglibatan pihak polis,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast