Logo Polis Diraja Malaysia (PDRM)

AMPANG – Dua beradik sekeluarga yang disyaki  mencuri motosikal  di Pangsapuri Sri Mutiara, Taman Ukay Bistari di sini dicekup polis.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, pada Januari lalu, pengadu warga tempatan telah meletakkan motosikal jenis Honda EX5 milik bapa saudaranya di tempat letak motosikal bawah blok pangsapuri tersebut.

“Namun selepas enam bulan berlalu iaitu pada 14 Julai lepas, adik pengadu dengan perasaan terkejut memaklumkan abangnya bahawa dia tidak melihat motosikal bapa saudara mereka yang di tempat parkir di pangsapuri tersebut.

“Pengadu segera turun ke tempat letak motosikal sebelum terkejut apabila mendapati motosikal yang diparkir di lot motosikal berkenaan didapati tiada di situ disyaki dicuri sebelum membat laporan polis untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Tambah Mohd Azam lagi, bertindak atas laporan pengadu, pada Rabu lalu, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah IPD Ampang Jaya telah membuat tangkapan ke atas dua lelaki tempatan disyaki suspek dalam kes yang sama.

Kedua-dua suspek yang merupakan adik-beradik dan bekerja sebagai pembantu restoran berusia 17 dan 25 tahun itu ditahan di Taman Keramat.

“Pemeriksaan lanjut ke atas kedua-dua suspek berjaya membantu polis menjumpai semula motosikal pengadu yang dilaporkan hilang,” katanya.

Kedua-dua suspek beradik itu kini sedang direman selama empat hari sehingga Ahad ini untuk membantu siasatan polis di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan iaitu kesalahan mencuri kenderaan.

Jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara maksimum tujuh tahun dan boleh dikenakan denda. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast