Tun Dr Mahathir Mohamad .

KUALA LUMPUR – Kezaliman berterusan rejim Zionis terhadap rakyat Palestin menunjukkan ketamadunan manusia telah mati, kata bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Menurut beliau, apa yang dipercayai manusia selama ini seperti hak asasi, keharmonian hidup, persaudaraan, kesaksamaan dan kebebasan bersuara dan kebebasan media semuanya telah ditolak.

Jelasnya, negara bersekutu dengan Israel seperti Amerika Syarikat (AS) dan negara-negara Eropah secara terbuka menyokong peperangan, pembunuhan kanak-kanak, genosid, ketidakadilan dan sebagainya.

“Negara-negara itu kini membenarkan pembunuhan beramai-ramai, membekalkan senjata dan dana serta menghalang usaha menghentikan peperangan serta genosid di Palestin,” katanya dalam hantaran di laman sosial Facebook beliau hari ini.

Tambah beliau, satu-satunya pihak yang mahu menamatkan peperangan ke atas Palestin adalah generasi muda Israel.

Jelasnya, golongan itu bangkit menentang kerajaan mereka sendiri dan mendesak supaya pembunuhan beramai-ramai penduduk Gaza dihentikan.

“Mereka bukan anti-Semitik (unsur ancaman keganasan terhadap Yahudi),  kebanyakan yang membantah itu juga merupakan Yahudi, yang hanya menentang tindakan pembunuhan beramai-ramai,” katanya.

Jelas Mahathir, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu ketika ini telah berikrar untuk meneruskan genosid di Palestin dengan sasaran menguasai Gaza dan menjadikannya wilayah Israel.

Namun, katanya, rancangan Netanyahu itu tidak akan terhenti setakat itu, sebaliknya sasaran rejim Zionis seterusnya adalah Tebing Barat, malah sehingga ke Lebanon dan Syria.

“Untuk mencapai sasaran itu, semua penduduk Palestin perlu dibunuh dan kuasa-kuasa besar akan memberi sokongan kepadanya dengan senjata dan dana.

“Kuasa veto negara-negara besar itu juga akan memastikan Netanyahu mencapai matlamatnya,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast