Datuk Sivakumar Nadarajah.

KUALA LUMPUR – Hukuman denda maksimum RM100 yang diputuskan Mahkamah Majistret Kuala Lumpur dalam kes buli siber membabitkan pempengaruh Rajeswary Appahu atau Esha terus mencetuskan polemik dan kebimbangan masyarakat umum berhubung undang-undang sedia ada.

Walaupun empat kementerian sudah duduk semeja membincangkan langkah seterusnya bagi mengukuhkan undang-undang sedia ada namun masih wujud kebimbangan tentang undang-undang bagi kesalahan-kesalahan lain yang hukumannya disifatkan terlalu ‘lembut’ dan tidak memberi pengajaran kepada pesalah.

Penaung dan Presiden Persatuan Kebajikan Dinamik Sinar Kasih Malaysia (DSK), Datuk Sivakumar Nadarajah mencadangkan supaya pindaan undang-undang sedia ada dilaksanakan sekurang-kurangnya 10 tahun sekali mengikut situasi semasa.

Sivakumar yang juga Ketua Bahagian MIC Segambut dan pemegang Amanah Sri Maha Mariamman Devasthanam terkejut apabila Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 (Akta 336) masih belum dipinda mengikut keperluan dan peredaran zaman ketika ini.

Jelasnya, hukuman ‘kecil’ telah diperuntukkan dengan denda tidak melebihi RM25 atau penjara bagi tempoh tidak melebihi 14 hari bawah akta tersebut.

“Anda bayangkan jika seseorang yang tidak bermoral, mabuk atau tidak berupaya jaga diri dengan berkelakuan tidak senonoh di tempat-tempat awam seperti termasuk kawasan rumah beribadat. Apabila saya baca akta ini, terguris hati saya terutamanya melihat perangai tidak sopan ini bila diamalkan, tidak perlu risau kerana hanya perlu bayar RM25 sahaja.

“Tempat ibadat perlu dijaga kesucian dan keharmonian. Jika seseorang pemabuk melakukan perkara yang sangat memalukan serta mencabar kedaulatan tempat beribadat, ianya satu perkara yang sangat memalukan dan sepatutnya tindakan tegas perlu dikuatkuasakan.

“Bukankah denda ‘semurah’ ini seperti memanjakan pesalah yang kita boleh anggap sebagai penjenayah, perosak bangsa pecah belahkan kesejahteraan negara? Lihat sahaja kes buli siber yang berlaku kepada mendiang Esha, pelaku bayar RM100 manakala mangsa sudah meragut nyawanya sendiri. Kita hendak tunggu lagi?,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kata Sivakumar, Akta 336 perlu dikaji semula dan perlunya mendapat pandangan masyarakat dan pihak berkuatkuasa.

Ujarnya, setiap Rang Undang-Undang (RUU) perlu dikaji, disemak dan dipinda setiap 10 tahun sekali dengan mengambil kira faktor-faktor yang berkait rapat dengan RUU itu.

“Dengan adanya pindaan, maka RUU yang akan dibentang di Parlimen dan mendapat sokongan dua pertiga dapat diluluskan serta meningkatkan kesahihan dalam membentang sesuatu kes. Rakyat pun tidak mengambil mudah perkara ini dan akan lebih peka dan teliti.

“Bukankah ini juga mampu mengurangkan isu-isu jenayah di negara ini? Setiap ahli parlimen bolehlah membahaskan RUU yang tidak dipinda lebih 10 tahun supaya perkara ini mendapat tumpuan semua ahli Dewan Rakyat.

“Apa yang buat saya marah, kecewa apabila tempat vandalisme yang mungkin berlaku akibat tindakan pemabuk berhampiran tempat ibadat hanya mengenakan denda begitu murah. Janganlah sudah terhantuk, baru terngadah bak kata peribahasa. Jangan biarlah pelaku salah ini bermaharajalela disebalik hukuman ringan,” tegasnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast