KUALA LUMPUR-Wakil media daripada pelbagai agensi sama ada tempatan mahu pun antarabangsa mula berkumpul di pintu 1 Istana Negara sejak awal pagi tadi.
Masing-masing tidak mahu melepaskan peluang merakam momen penting dalam lipatan sejarah dan menyaksikan sendiri Istiadat Pertabalan Sultan Ibrahim sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17.
Tinjauan Malaysia Gazette mendapati, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim kelihatan tiba di Anjung Utama Istana Negara jam 8.45 pagi tadi.
Turut hadir Menteri Kanan Singapura, Lee Hsien Loong dan isteri Ho Ching.
Dalam pada itu, pekarangan pintu utama Istana Negara dikawal rapi oleh anggota pasukan keselamatan antaranya Polis Diraja Malaysia dan Angkatan Tentera Malaysia bagi menantikan keberangkatan tiba Sultan dan raja-raja Melayu ke istiadat itu.
Jabatan Meteorologi pula meramalkan cuaca pagi ini adalah cerah.
Untuk rekod, Sultan Ibrahim melafaz dan menandatangani Surat Sumpah Jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 pada 31 Januari lalu.