SEBERANG PERAI – Pindaan Kanun Keseksaan (Akta 574) bagi membanteras gejala buli siber dijangka akan dibentangkan dalam Parlimen Oktober depan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said.
Jelas beliau, pembentangan pindaan akta itu akan dibuat hasil perbincangan empat kementerian iaitu Kementerian Dalam Negeri (KDN), Kementerian Digital, Kementerian Komunikasi dan Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang Dan Reformasi Institusi).
“Kita tubuhkan satu pasukan khas membabitkan empat kementerian untuk memperhalusi pindaan Akta 574 supaya pindaan dapat dibuat pada sesi (Parlimen) Oktober ini.
“Pindaan ini juga untuk kita memastikan peruntukan jenayah buli siber dapat dikuatkuasakan secara efektif memandangkan definisi takrifan khas buli siber tak ada dalam undang-undang setakat ini,” katanya pada kepada pemberita hari ini.
Terdahulu, beliau merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Bukit Mertajam 2024 di Hotel Ixora di sini.
Mengulas lanjut Azalina berkata, pihaknya juga akan mengadakan satu seminar undang-undang keselamatan dalam talian membabitkan penglibatan negara luar.
“Kita nak belajar daripada negara-negara lain seperti Australia, Kanada, United Kingdom dan juga Singapura…sebab sekarang ini ada pertikaian membabitkan elemen demokrasi serta limit hak asasi.. tambahan pula ada orang berkata bahawa mereka ada kebebasan nak bercakap apa yang dia sukalah kerana dalam buli siber mereka tak sentuh (secara fizikal) hanya bercakap saja.
“Jadi sekarang ni aspek jenayah tu ialah ia bukan satu one-off lah. Dia buat scooping, doxing, intimidation. Lepas itu yang paling dahsyat tu dia buat, inflammating iaitu dia menggalakkan orang wujudkan kebencian.
“Kita tak nak adanya hubungan pertama sekali pada generasi muda anak-anak kita yang tertekan di segi emosi dan melakukan sesuatu yang tak elok pada diri mereka,” katanya.
Media pada Selasa lalu melaporkan, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri (JPM) sedang mempertimbangkan cadangan meminda Kanun Keseksaan (Akta 574) bagi membanteras gejala buli siber.
Menteri di JPM (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, berkata cadangan pindaan itu bagi mewujudkan peruntukan spesifik dan khas bagi kesalahan terbabit.
Beliau berkata, selain memberi tafsiran kepada terma ‘buli siber’, cadangan itu akan mengklasifikasikan perbuatan terbabit sebagai suatu kesalahan di negara ini secara spesifik. – MalaysiaGazette