J Solomon

KUALA LUMPUR – Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Bank (NUBE) akan melancarkan siri piket di seluruh negara pada 21 Julai ini terhadap  semua bank bagi membantah tindakan keterlaluan ketua pegawai eksekutif bank yang cuba menggagalkan kesatuan sekerja.

Ketua pegawai eksekutif bank itu didakwa menafikan hak-hak untuk keseimbangan kerja dan kehidupan; bebas daripada pembulian; diskriminasi, gangguan dan gangguan seksual; keselamatan pekerjaan; bebas daripada usaha menggagalkan kesatuan sekerja; menghadiri latihan sama ada di HRDC mahupun latihan lain dengan cuti berbayar untuk mendapatkan latihan semula dan peningkatan kemahiran; imbuhan yang saksama; terbabit dalam tugas kesatuan sekerja tanpa berdepan dengan sebarang kerugian dan pembayaran 2.0% SST untuk insuran perubatan keluarga ahli.

Setiausaha Agung NUBE, J. Solomon mendakwa sebahagian besar daripada bank berkenaan adalah milik syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang bertindak bertentangan dengan tujuan kewujudannya.

Tuduhnya, bank milikan luar negara dan tempatan, turut mencontohi pelanggaran terang-terangan GLC terbabit, tanpa berselindung melakukan pelanggaran hak pekerja masing-masing.

“Badan kawal selia, bagaimanapun, berdiam diri terhadap salah laku sedemikian, sebaliknya memihak kepada penindas. Ketua pegawai eksekutif menerima pendapatan tahunan yang hanya mampu diperoleh ahli NUBE jika mereka bekerja selama 1,000 tahun.

“Pendapatan keterlaluan itu tidak meletakkan ketua pegawai eksekutif berkenaan dalam kasta yang lebih tinggi daripada kelas pekerja. Ahli NUBE mungkin mendapat gaji yang rendah berbanding dengan ketua pegawai eksekutif, namun, mereka juga berhak terhadap hak asasi manusia dan kami mendesak untuk kesaksamaan, dan bukan dilayan seperti hamba.

“Ketua pegawai eksekutif bank-bank ini berterusan melanggar proses, prosedur, kebiasaan dan konvensyen buruh antarabangsa yang telah ditetapkan, dalam interaksi dan rundingan mereka dengan NUBE,” dakwanya dalam satu kenyataan di sini.

Solomon berkata, laporan berita yang mendedahkan peningkatan mendadak kes penipuan baru-baru ini bukanlah suatu kebetulan kerana Malaysia juga berada di tempat kedua negara paling buruk di dunia dari segi keseimbangan kerja-kehidupan.

Jika ketua pegawai eksekutif terus berkelakuan sebagai tuan dan menuntut kelas pekerja mematuhi semua kehendak mereka, ia adalah penghambaan kelas pekerja yang telah dirancang.

Sedangkan, hujahnya, rakyat di negara berdaulat tidak seharusnya secara berterusan dilayan seperti hamba, terutama di rumah dan negara sendiri.

“Kami mengharapkan sokongan pelanggan kami semasa piket ini berjalan, dan yakin bahawa pelanggan juga memahami keperluan kepada perjuangan kami untuk mendapat kesaksamaan dan penghormatan bagi pekerja, yang juga rakyat di negara ini,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast