Seorang pemandu Perodua Bezza ditahan disyaki melarikan dua kanak-kanak perempuan di Taman Ikan Emas di Jeram, Kuala Selangor awal pagi hari ini. Foto Ihsan PDRM

KUALA LUMPUR – Seorang pemandu Perodua Bezza ditahan kerana disyaki melarikan dua kanak-kanak perempuan dalam kejadian di Taman Ikan Emas di Jeram, Kuala Selangor awal pagi hari ini.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Deputi Superitendan Mohd Ambia Nordin berkata, suspek lelaki berusia 32 tahun itu berjaya dicekup sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah di rumahnya di Jeram, pada jam 2.40 pagi.

“Polis Kuala Selangor telah menerima laporan berhubung dua kanak-kanak berusia 6 dan 8 tahun dilarikan oleh seorang lelaki pada jam 6.30 petang, Jumaat lalu.

“Kejadian berlaku ketika kedua-dua mangsa sedang bermain di Jalan Ikan Emas 2, Taman Ikan Emas, Kuala Selangor dan telah dilarikan oleh suspek yang menaiki kereta Bezza berwarna hitam.

“Susulan itu, tangkapan telah dilakukan dan suspek tidak melarikan diri serta memberikan kerjasama,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Mohd Ambia, hasil saringan air kencing ke atas suspek adalah negatif namun mempunyai rekod lampau di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

Suspek telah dibawa ke Mahkamah Majistret Klang dan dikenakan reman selama lima hari bermula hari ini hingga 25 Julai bagi membantu siasatan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 369 Kanun Keseksaan dan Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001.

“Polis juga masih menjalankan siasatan untuk mengenal pasti motif dan modus operandi yang dilakukan suspek,” ujarnya.

Beliau juga menasihati orang ramai supaya mengawasi anak-anak yang berada di luar rumah bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku.

Terdahulu, media melaporkan polis menerima laporan dari ibu mangsa berhubung kejadian titu pada jam 6.30 petang kelmarin.

Mohd Ambia berkata, pihaknya telah mengesan hantaran tular di media sosial berhubung dua kanak-kanak berusia 6 dan 8 tahun dilarikan seorang lelaki memandu Bezza berwarna hitam.

Mangsa kemudian ditemui dalam keadaan selamat di Taman Kelisa berhampiran rumah mangsa pada jam 7.45 malam, kira-kira sejam selepas dilaporkan hilang. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast