Kereta dipandu suspek mengalami kerosakan teruk akibat kejadian tersebut.

GEORGE TOWN – Polis menahan lelaki yang memandu secara melulu sehingga menyebabkan kemalangan membabitkan beberapa buah di Jalan Batu Feringghi menghala ke Teluk Bahang dekat sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Razlam Ab Hamid berkata, tangkapan suspek berusia 30 tahun itu turut membawa kepada penemuan ganja dan syabu dalam beg silang miliknya.

“Kejadian berlaku jam 6.40 petang di mana anggota polis dan orang awam telah mengarahkan suspek memberhentikan kereta jenis Perodua Myvi dipandunya.

“Bagaimanapun, suspek bertindak melarikan diri dengan memecut laju kenderaannya sebelum pihak polis berjaya menahannya di hadapan sebuah restoran minuman di Jalan Batu Feringghi di sini,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Tambah Razlam, semakan lanjut mendapati suspek mempunyai dua rekod lampau membabitkan dadah dan jenayah.

“Selain itu, ujian saringan air kencing juga mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamin.

“Suspek kini direman empat hari sehingga 24 Julai ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 12(3) Akta Dadah Berbahaya, Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Siasatan juga dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast