KUALA LUMPUR – Kerajaan akan memberi keutamaan kepada semua pelajar Malaysia yang terkesan susulan protes semakin memuncak di Bangladesh bakal dibawa pulang ke tanah air.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah itu dibuat dengan mengambil kira keselamatan pelajar terlibat ekoran situasi rusuhan bertambah getir sejak kebelakangan ini.
“Kalau tengok setakat ini, kalau tengok keselamatan, anak-anak Malaysia menjadi keutamaan kita.
“Jadi kalau hari pertama nampak keadaan terkawal namun keadaan sekarang maklumat Kedutaaan Malaysia di Bangladesh lebih sesuai untuk dibawa pulang,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Perasmian Persidangan Cukai Kebangsaan 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Kuala Lumpur, di sini, hari ini.
Beliau ditanya sama ada kerajaan mahu membawa pulang semua pelajar Malaysia terkandas susulan protes semakin memuncak di Bangladesh.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, Kementerian Luar akan mengadakan mesyuarat termasuk berhubung keperluan menyewa pesawat untuk membawa pulang pelajar terlibat.
Perdana Menteri berkata, kerajaan akan membantu semua pelajar tanpa mengira bantuan kerajaan atau tanggungan swasta.
“Menteri Luar beritahu sejak semalam dan pagi tadi, mengikuti perkembangan muktahir di Bangladesh dan nampak keadaan itu menbimbangkan,” katanya.
Protes di Bangladesh bermula bulan ini di kampus universiti ketika pelajar menuntut dihentikan sistem kuota yang memperuntukkan 30 peratus pekerjaan dalam sektor awam untuk ahli keluarga veteran yang berjuang dalam perang kemerdekaan Bangladesh pada 1971.
Amaran keselamatan tahap tinggi dikeluarkan untuk seluruh Bangladesh, susulan pertempuran ganas antara pelajar dan polis yang berterusan.
Ibu kota Dhaka turut berdepan sekatan telekomunikasi, dengan talian telefon terputus dalam tunjuk perasaan yang meragut banyak nyawa itu. – MalaysiaGazette