Gambar hiasan

PUTRAJAYA – Kerajaan akan menambah baik kualiti Pasport Malaysia Antarabangsa (PMA) dengan terus memberi keutamaan terhadap ciri-ciri keselamatannya.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, PMA akan diperkasa supaya boleh berada di tempat pertama pasport paling berkuasa di dunia pada masa akan datang.

“Ketika ini pasport Malaysia berada di ranking nombor 11 dokumen perjalanan paling berkuasa di dunia dan indeks terbaharu ini dikeluarkan dalam senarai Global Passport Power Rank 2024 oleh Passportindeks.Org.

“Sudah pasti kita mempunyai hasrat untuk mencapai rangking pertama (pasport) paling berkuasa di dunia,” katanya dalam sidang media di Putrajaya hari ini.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Sambutan Hari Imigresen 2024 ke-102 tahun di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Menterinya Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah, Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Datuk Ruslin Jusoh dan Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay.

Dalam pada itu, Saifuddin berkata, JIM berjaya mencapai rekod terpantas dunia dengan mengeluarkan pasport dalam tempoh 60 minit untuk pelanggan yang datang secara walk-in.

“Oleh demikian saya menyeru orang ramai yang membuat pasport secara dalam talian agar patuh dengan arahan JIM

“Ini kerana kebanyakan aduan yang diterima berkenaan permohonan pasport yang ditolak JIM adalah disebabkan gambar yang dikemukakan pemohon yang tidak menepati Prosedur Operasi (SOP) antarabangsa.

“SOP ini bukan sengaja direka-reka JIM tetapi ia adalah kriteria dan standard yang ditetapkan di peringkat antarabangsa dengan mengambil kira aspek keselamatan,” katanya lagi.

Setakat 15 Julai lalu, JIM telah mengeluarkan 1.45 juta PMA berbanding 3.06 juta sepanjang 2023.- MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast