KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan penyasaran rasionalisasi subsidi ke atas petrol RON95 tidak berbangkit ketika ini.
Perdana Menteri berkata, ini kerana kerajaan ingin memberi fokus mengenai penjelasan rasionalisasi subsidi diesel kepada rakyat terlebih dahulu.
“Tak berbangkit dan kita deal dengan diesel beri kefahaman betul, kadang-kadang dipusingkan.
“Dan saya beritahu kalau masalah dengan diesel beritahu, tidak mahu beban rakyat tapi kalau tak buat hasil tak bertambah, hutang bertambah,” katanya yang juga Menteri Kewangan.
Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Persidangan Cukai Kebangsaan 2024 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, di sini, hari ini.
Sebelum ini, Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli ketika diwawancara oleh media asing memberitahu bahawa kerajaan akan melakukan cara yang sama ke atas RON95 dengan membuat kejutan seperti program rasionalisasi subsidi diesel.
Beberapa pihak mempersoalkan kenyataan Rafizi itu dengan ada yang mendakwa bahawa ia berkemungkinan tidak diterima baik dan akan mengundang padah.
Namun Rafizi mempertahankan strategi kerajaan mengenai alasan di sebalik pengumuman penyasaran subsidi diesel dibuat secara mengejut sebagai langkah mengawal harga barang.
Beliau berkata, ia bertujuan mengimbangi kesan kenaikan harga barang berkali-kali selain mengelakkan peniaga terus memanipulasi pengguna dengan pelbagai alasan. – MalaysiaGazette