tujuh penguat kuasa PBT yang ditahan dalam operasi khas Op Orange oleh SPRM Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR – Seramai tujuh penguat kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT) ditahan reman oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kuala Lumpur kerana dipercayai menerima wang rasuah secara bulanan hampir RM12,000 daripada premis perniagaan yang beroperasi menggunakan lesen ali baba di ibu negara.

Kesemua suspek lelaki berusia lingkungan 30 hingga 40-an telah ditahan di sekitar ibu negara antara jam 8.30 hingga jam 11 pagi Isnin menerusi operasi khas Op Orange dijalankan SPRM Kuala Lumpur.

Susulan penahanan itu, kesemua suspek telah direman setelah Majistret Amira Abd Aziz membenarkan lima anggota penguat kuasa direman selama lima hari sehingga 27 Julai ini.

Sementara dua lagi anggota penguat kuasa direman selama tujuh hari sehingga 29 Julai 2024 selepas permohonan di buat SPRM di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur pagi tadi.

“Menerusi risikan dijalankan SPRM sejak enam bulan lalu, kesemua penguat kuasa yang ditahan ini disyaki telah melindungi premis-premis haram yang beroperasi secara tidak sah dan menerima wang rasuah secara bulanan antara RM200 hingga RM1,000 daripada pemilik dan penjaga premis berkenaan.

Tujuh penguat kuasa PBT dibawa pegawai SPRM ke Mahkamah Majistret Kuala Lumpur untuk mendapat perintah reman.

“Wang rasuah yang diterima ini sebagai balasan kerana tidak mengambil tindakan penguatkuasaan kepada premis-premis berkenaan yang bukan sahaja menggunakan lesen ali baba, sebaliknya kerana kesalahan menggajikan warga asing sebagai pekerja selain beroperasi menggunakan lesen yang berbeza,” kata sumber.

Rentetan daripada tangkapan itu, SPRM turut menyita wang tunai kira-kira RM40,000.

Sementara itu, Pengarah SPRM Kuala Lumpur, Datuk Mohamad Fauzi Husin ketika dihubungi mengesahkan tangkapan terhadap kesemua suspek dan kes disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

Beliau berkata, seorang suspek telah dilepaskan dengan jaminan SPRM selepas keterangannya direkodkan. – MalaysiaGazette