Roland@Rozaidi (depan) beramah mesra dengan pelajar KTEHZA memperoleh PNGK 4.0 bagi STPM 2023.

GEORGE TOWN – Seramai 70 calon Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2023 Pulau Pinang memperoleh keputusan cemerlang Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 4.0.

Timbalan Pengarah Pembelajaran negeri, Roland@Rozaidi Abu Hassan berkata, PNGK negeri juga mencatatkan peningkatan sebanyak 0.04 kepada 2.90 berbanding 2.84 pada tahun sebelumnya.

Jelasnya, angka itu sekali gus mengatasi GPN dicatatkan di peringkat kebangsaan iaitu 2.84.

“Seramai 1,743 calon sekolah kerajaan telah menduduki STPM 2023 dan daripada jumlah itu seramai 1,727 layak mendapat sijil.

“Selain itu, sebanyak 15 sekolah membabitkan tujuh dalam daerah Timur Laut, Seberang Perai Utara (4), Seberang Perai Tengah (2) dan masing-masing satu bagi daerah Barat Daya serta Seberang Perai Selatan telah mencapai kelulusan 100 peratus.

“Mengikut pecahan sekolah pula, Kolej Tingkatan Enam Haji Zainul Abidin (KTEHZA) mencatatkan paling ramai calon yang memperoleh PNGK 4.0 iaitu seramai lapan orang,” katanya pada sidang media pengumuman keputusan STPM 2023 di KTEHZA, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut Roland@Rozaidi berkata, Tan Jun Sheng dari KTEHZA juga dinobatkan sebagai pelajar terbaik STPM 2023 bagi kategori istimewa iaitu masalah penglihatan.

“Secara keseluruhan hanya seorang calon saja yang dilaporkan gagal pada STPM 2023,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast