KUALA LUMPUR – Ibu bapa dan guru-guru perlu memainkan peranan lebih proaktif dalam membentuk pelajar sekolah menguasai bidang pendigitalan.
Menteri Komunikasi, Ahmad Fahmi Fadzil berkata, satu perubahan perlu ada dalam kalangan warga pendidik dan pelajar ialah mencabar diri serta sentiasa mencuba.
“Tidak mustahil kita akan melihat generasi Kecerdasan Buatan (AI) menghasilkan teknologi baharu, kita perlu menyediakan ruang luas agar anak-anak bersedia dengan pola pemikiran mencuba cabaran tetapi pada masa sama ada sikap berwaspada.
“Ia penting supaya penggunaan pelbagai rangkaian sosial dalam dunia pendigitalan tidak menjerumus dan merosakkan masa depan mereka,” katanya selepas merasmikan Program Sekolah Digital Bersama U Mobile, di sini, hari ini.
Menurut Ahmad Fahmi, epidemik berlaku di Amerika Syarikat (AS) apabila media sosial dikesan membawa impak negatif kepada pembangunan mental kanak-kanak namun Malaysia tidak mengikuti jejak langkah tersebut.
Tambah beliau, satu kajian mengenai kesan penggunaan media sosial kepada pembangunan mental kanak-kanak di Malaysia perlu dilaksanakan.
Sementara itu, Ahmad Fahmi berkata, platform penyedia aplikasi media sosial diingatkan agar lebih bertanggungjawab dan mengambil tindakan tegas ke atas akaun-akaun pengguna yang didapati terlibat jenayah dan melanggar undang-undang negara.
Tambah beliau, pihaknya mendapati banyak aplikasi media sosial disalahgunakan bagi tujuan jenayah dan penipuan.
Beliau berkata, pihaknya dimaklumkan oleh Unit Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11) Bukit Aman terdapat aplikasi disalahgunakan untuk memuatnaik video-video pornografi, penjualan dadah dan aktiviti scammer.
“Sekiranya mereka enggan mengambil tanggungjawab lebih besar memastikan platform mereka bebas dari sebarang elemen jenayah, maka kita (kerajaan) perlu pastikan mereka akur dengan undang-undang di negara kita,” ujarnya. – MalaysiaGazette