Seorang pelajar Tingkatan Tiga mengalami kecederaan parah pada muka selepas terlanggar bahagian belakang sebuah kereta yang berhenti di bahu jalan di Lebuh Farquhar, Pulau Pinang hari ini.

GEORGE TOWN – Seorang pelajar tingkatan tiga terpaksa menjalani pembedahan di bahagian muka selepas mengalami kecederaan parah akibat kemalangan membabitkan sebuah kereta di Lebuh Farquhar berhampiran Sekolah Menengah Kebangsanan St Xavier di sini, hari ini.

Kejadian berlaku jam 2.30 petang ketika mangsa berusia 15 tahun itu sedang menunggang motosikal jenis Honda Vario dan dalam perjalanan dari arah Lebuh Light.

Difahamkan sebaik tiba di lokasi kejadian, mangsa dikatakan telah melanggar sebuah kereta jenis Perodua Myvi yang sedang berhenti di bahu jalan.

Impak pelanggaran itu menyebabkan mangsa mengalami kecederaan parah pada bahagian muka manakala wanita berusia 49 tahun yang merupakan pemandu kereta tidak mengalami sebarang kecederaan.

Mangsa kini sedang menjalani pembedahan di Hospital Pulau Pinang.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Razlam Ab Hamid berkata, mangsa tidak mempunyai lesen memandu dan kini berada di Hospital Pulau Pinang bagi menjalani pembedahan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Terdahulu, tular rakaman video memaparkan mangsa mengalami kecederaan teruk sehingga hidung serta mulutnya terkoyak. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast