Personaliti media sosial, Andika Putera.

KUALA LUMPUR – Personaliti media sosial, Andika Putera atau nama sebenarnya Muhamad Andika Putera menjelaskan dia tidak pernah berlaku curang ketika dalam perkahwinan bersama bekas isterinya, Ananda Natasha.

Andika atau lebih mesra disapa Dika, 27, berkata, dia terkejut apabila dituduh curang dengan pekerja dan isteri orang yang juga jurulatih dalam bidang motivasi yang tular di media sosial ketika ini.

Bapa kepada seorang anak itu memberitahu, dia dan Natasha pernah bercerai pada tahun 2022 atas faktor tiada persefahaman dan kemudian rujuk semula demi kebaikan anak mereka, Alisha Puteri.

“Namun kami masih lagi tiada persefahaman sehingga kami membuat keputusan untuk bercerai pada Disember tahun lalu di mana penceraian itu juga berlaku secara baik dengan bekas isteri.

“Walaupun sudah bercerai, saya masih berusaha melakukan tanggungjawab sebagai seorang ayah sebaik mungkin seperti memberi duit nafkah anak dan wang mutaah setiap bulan tanpa gagal kepada Natasha selain menguruskan rawatan mata Alisha.

“Dan sepanjang berumahtangga dengan Natasha, saya tidak pernah berlaku curang dengan mana-mana pihak seperti yang didakwa.

“Ia satu fitnah yang sangat besar, lebih-lebih lagi dengan coach yang diperkatakan kerana dia sudah berkahwin dan perkara ini sangat mengaibkan untuk dia dan juga saya,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Bagaimanapun Dika mengakui atas kekhilafan kata-katanya ketika menyampaikan seminar mengenai topik hubungan suami isteri yang telah disalahtafsir dan dimanipulasikan individu-individu yang tidak bertangungjawab.

Tegasnya, golongan itu juga telah dikenalpasti untuk diambil tindakan perundangan dalam masa terdekat ini.

“Saya mengakui rasa khilaf sangat kerana penggunaan kata-kata saya berlebihan dan mesra terhadap coach itu dan saya memohon maaf atas kesilapan yang tidak sepatutnya berlaku.

“Dan seperti biasa semua seminar saya akan dirakamkan untuk rujukan akan datang. Entah macam mana pihak yang dikenalpasti sudah memberikan video berkenaan kepada Natasha dan ia menjadi salah faham.

“Tidak fasal-fasal saya dituduh curang selama empat tahun tanpa bukti. Dalam kes ini, benar ia silap saya, tetapi seminar itu diadakan selepas saya bercerai.

“Cuma disebabkan pihak ketiga menokok tambah menyebabkan ia membina andaian terhadap Natasha ia berlaku sebelum bercerai,” ujarnya.

Sementara itu, Dika berharap dengan penjelasan yang diberi, isu skandal berkenaan tidak diperbesar-besarkan lagi kerana ia akan mengelirukan ramai pihak.

Dika juga menegaskan sekiranya ada pihak yang cuba untuk terus memfitnah dirinya, dia tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan mahkamah.

“Saya tidak mahu membuka aib mana-mana pihak kerana selama ini saya hanya menjalani kehidupan seperti biasa dan menguruskan komitmen harian saya.

“Cukuplah tuduh saya macam-macam. Hentikan atau saya akan mengambil tindakan terhadap pihak yang cuba menjatuhkan reputasi saya,” tegasnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast