KUALA LUMPUR- Lebih 100 rakyat Malaysia yang dievakuasi dari Dhaka, Bangladesh dijangka tiba di tanahair kira-kira 4.10 petang ini.
Terdahulu Bernama melaporkan, penerbangan khas atas arahan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim itu berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Terminal 2, jam 7.30 pagi tadi.
Penerbangan AirAsia menggunakan pesawat Airbus A330 yang mampu memuatkan 350 penumpang itu dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Hazrat Shahjalal, Dhaka pada 9.20 pagi (waktu tempatan).
Setiausaha Bahagian Asia Selatan dan Asia Tengah Kementerian Luar Datuk Dr Shazelina Zainul Abidin yang mengetuai misi berkenaan berkata lebih 100 rakyat Malaysia termasuk pelajar telah ditempatkan di Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Dhaka sejak semalam.
“Misi ini sebenarnya dirancang sejak 12 Julai, pelaksanaannya pula mengambil masa paling singkat, kurang 12 jam. Sebaik sahaja dapat ‘lampu hijau’ daripada Pesuruhjaya Tinggi kita di Bangladesh, kami dapatkan kapal terbang, ada kelewatan sikit sebab kita diminta tunggu untuk pastikan pelajar-pelajar kita sampai di Suruhanjaya Tinggi kita di Dhaka,” katanya kepada Bernama.
Kelmarin, kerajaan Bangladesh mengenakan perintah berkurung seluruh negara dan mengerahkan tentera susulan pertempuran antara penunjuk perasaan dan polis semasa protes pelajar.
ARTIKEL BERKAITAN
Pelajar Malaysia terkesan dengan pertempuran di Bangladesh sudah dipindahkan